Bank Muamalat, EJAsia anjur program tingkatkan  literasi kewangan

Bank Muamalat, EJAsia anjur program tingkatkan  literasi kewangan

BANK Muamalat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama Emerging Journey Asia Sendirian Berhad (EJAsia) menganjurkan program kesejahteraan kewangan dan kesihatan mental di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang. 

Program yang bertemakan ‘Memperkasakan Kesejahteraan Kewangan Masa Hadapan’ melibatkan lebih daripada 350 pelajar, ibu bapa dan guru itu menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia.

Ia merupakan salah satu langkah proaktif Bank Muamalat dalam meningkatkan tahap literasi kewangan di peringkat sekolah. 

Menerusi program ini, pelajar, ibu bapa dan guru bukan sahaja didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan, malah mereka turut diberikan kesedaran mengenai isu kesihatan mental yang berkait rapat dengan kesejahteraan kewangan. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, bank menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia bagi menjamin kelestarian sumber kewangan individu, kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan ekonomi negara. 

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, isu kewangan adalah antara masalah utama yang membelenggu masyarakat terutamanya golongan belia yang terjebak dengan hutang-hutang yang tidak mampu dibayar. 

“Sejak 2019 hingga Disember 2023, mengikut data Jabatan Insolvensi Malaysia seramai 6,996 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan bankrap dan hal ini berlaku akibat kekurangan ilmu pengurusan kewangan di peringkat awal.

“Selari dengan usaha bersepadu kerajaan dan BNM untuk meningkatkan tahap literasi kewangan melalui pendidikan, Bank Muamalat mengambil pendekatan ini bagi membantu mereka secara holistik, terutamanya menerusi kemahiran, latihan dan pendidikan kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN