Arisprop Capital jangka ke Bursa Malaysia menjelang 2028

Arisprop Capital jangka ke Bursa Malaysia menjelang 2028

HARIS EMBONG menerangkan pelan pengembangan syarikatnya ketika ditemui di pejabatnya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.-UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Arisprop Capital Bhd., entiti pegangan pelaburan yang menerajui konsortium firma yang terlibat dalam produk makanan menyasarkan penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2028.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Embong berkata, tawaran awam permulaan (IPO) yang akan dilaksanakan di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tersebut dijangka meraih dana kira-kira RM450 juta.

Katanya, hasil daripada IPO tersebut akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan syarikat itu termasuk membuka kilang pemprosesan daging burger baharu.

“Selain itu, kami juga akan gunakan dana itu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang dari masa ke semasa bagi memenuhi permintaan dalam negara serta pasaran eksport yang juga termasuk dalam rancangan pengembangan perniagaan.

“Antara pasaran eksport yang menjadi sasaran kami dan juga telah menerima permintaan adalah negara ASEAN seperti di Indonesia, Myanmar dan Vietnam serta negara-negara di Asia Barat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat juga akan menggunakan hasil IPO itu membuka central kitchen atau dapur berpusat untuk restoran berkonsep mereka yang dikenali sebagai The Makan Shoppe yang dijangka dilancarkan pada November tahun ini

“The Makan Shoppe ini akan menampilkan konsep street food Malaysia. Kami sasaran untuk buka sehingga dua cawangan pada tahun ini dan 14 cawangan untuk tahun kedua.

“Selain itu, kami juga menyasarkan untuk membuka kafe ini di luar negara bagi memperkenalkan serta mempromosikan lagi makanan tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 70 peratus daripada hasil IPO itu akan digunakan untuk perbelanjaan operasi (opex) dan selebihnya untuk perbelanjaan modal (capex).

Syarikat yang terlibat dalam industri makanan di bawah Arisprop Capital adalah Arisprop Holdings Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pengeluaran, logistic, menternak ayam dan rantaian bekalan.

Selain itu, kumpulan juga mempunyai Aris Burger Sdn. Bhd. yang terlibat dalam gerai Aris Burger, Arisprop Agro Sdn. Bhd. (untuk urusan perdagangan produk Aris Burger, runcit, kafe dan unggas) dan Arisprop Venture Sdn. Bhd. 

Aris Burger yang kini mempunyai 24 produk unit simpanan stok (SKU) meliputi burger daging, ayam, ayam kampung dan kambing serta produk sejuk beku lain seperti bebola ayam dan daging, ‘popcorn’ ayam, daging cincang dan sebagainya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN