Ketersediaan pengangkutan awam tarik ramai penggun

Ketersediaan pengangkutan awam tarik ramai pengguna

MOHD. ZAIN MAT TAHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KETIKA ramai mengeluh terpaksa menghadapi kesesakan di lebuh raya ketika pulang bekerja, beberapa perkhidmatan pengangkutan awam telah mula menunjukkan peningkatan penerimaan penumpang saban hari. 

Disebabkan itu, ada juga penumpang yang mula berulang alik dari lokasi luar Lembah Klang untuk ke tempat kerja setiap hari. 

Salah sebuah penyedia perkhidmatan pengangkutan di negara ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengakui mula melihat trend peningkatan ini di beberapa lokasi termasuk luar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, MOHD. ZAIN MAT TAHA dalam temubual melalui emel bersama wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI menyatakan ketersediaan pengangkutan awam antara faktor yang menarik pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut di beberapa laluan. 

 

UTUSAN: Apa jangkaan pihak KTMB pada tahun ini?

MOHD. ZAIN: Peningkatan keseluruhan sebanyak 15 peratus bagi beberapa sektor-sektor  untuk tahun 2024.

Landskap ini dapat dilihat terutamanya selepas pemulihan ancaman Covid-19.

 

Apakah antara sektor yang terbabit?

Laluan yang paling ramai penumpang ialah Laluan Batu Caves – Pulau Sebang yang me­lalui kawasan Batu Caves, Sentul, Pusat Bandaraya, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Bangi, Seremban, dan Tampin.

 

Sejauh mana pihak tuan melihat peningkatan penum­pang ini selain telah mula ramai menggunakan perkhidmatan KTMB dan boleh nyatakan antara kekangan yang dihadapi?

KTMB terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran. 

Antaranya, kekangan yang melibatkan kekerapan tren dan masa perjalanan yang lebih panjang disebabkan oleh projek menaik taraf landasan (KVDT 1 dan 2). 

Projek ini menyebabkan sebahagian jajaran masih beroperasi secara jajaran tunggal. Namun, kami komited untuk memastikan pengguna menikmati perkhidmatan yang selesa dan efisien sepanjang tempoh pelaksanaan projek menaik taraf ini.

 

Apakah signifikan terhadap KTMB apabila ramai telah mula menggunakan pengangkutan awam ketika ini? 

Peningkatan bilangan penumpang yang menggunakan per­khidmatan KTM Komuter telah mengukuhkan pendapatan KTM Komuter. 

Pendapatan KTM Komuter meningkat sebanyak 13 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pada tahun ini, bagaimana KTMB melihat peningkatan pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini terutama di laluan luar Lembah Klang se­perti Seremban, Senawang, Ipoh dan sebagainya?

Sepanjang enam bulan pertama tahun 2024, kesemua laluan yang melalui kawasan di luar Lembah Klang me­nunjukkan peningkatan bilangan penumpang perkhidmatan KTM Komuter kecuali bagi sektor Kajang sehingga Tampin.

Selain itu, sektor Rawang hingga Tanjung Malim dan sektor Ipoh mencatatkan peningkatan bilangan penumpang masing masing sebanyak 24 peratus. 

 

Boleh huraikan dengan lebih lanjut mengenai peningkatan laluan tersebut?

Sektor Kajang hingga Tampin  (-3 peratus dengan purata bulanan sebanyak 149,000 penumpang), sektor Rawang hingga Tanjung Malim (+24 peratus dengan purata bulanan sebanyak 65,000 penumpang), sektor Ipoh (+24 peratus dengan purata bulanan sebanyak 81,000 penumpang), 

Ini termasuk sektor Bukit Mertajam hingga Butterworth (+13 peratus dengan purata bulanan sebanyak 112,000 penumpang), sektor Padang Besar (+14 peratus dengan purata bulanan sebanyak 251,000 penumpang)

 

Dengan peningkatan tersebut bagaimana pihak KTMB melihat situasi ini?

KTMB melihat peningkatan bilangan penumpang di luar kawasan Lembah Klang sebagai satu kejayaan proses urbanisasi kawasan luar bandar. Ia telah membentuk gaya hidup baharu masyarakat di kawasan ber­kenaan. 

Beberapa faktor penting menyumbang kepada pemilihan ini, antaranya ialah faktor ketersambungan first and last mile connectivity di mana ia merujuk kepada kemampuan pengguna untuk mengakses pengangkutan awam dari titik permulaan perjalanan mereka ke stesen pengangkutan awam (first mile) dan dari stesen ke destinasi akhir mereka (last mile).

Ketersambungan ini disokong oleh pertumbuhan mampan perkhidmatan e-hailing, yang memudahkan pergerakan pengguna dari rumah mereka ke stesen dan sebaliknya.

Selain itu, jadual tren yang lebih fleksibel dan selaras dengan keperluan pengguna juga memainkan peranan penting. 

Tidak ketinggalan, inovasi digital seperti aplikasi yang dimuat naik dengan ciri-ciri live update  berperanan sebagai journey planner ternyata mampu membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih efisien dan selesa.

 

Sejauh mana KTMB menambah baik sistem tiket perkhidmatan KTM Komuter?

KTMB juga telah menambah baik sistem tiket perkhidmatan KTM Komuter dengan memperkenalkan Sistem Pembayaran Terbuka yang lebih ke arah tanpa tunai. 

Sistem ini membolehkan penumpang membeli tiket dengan lebih mudah dan menawarkan alternatif pembayaran yang tidak hanya terhad kepada tunai. 

Dengan Sistem Pembayaran Terbuka ini, penumpang boleh menggunakan kad kredit dan debit serta pelbagai kaedah pembayaran lain seperti dompet digital (e-wallet) dan kad prabayar.

Penumpang KTM Komuter khasnya tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter tiket atau mesin tiket untuk membeli atau menambah nilai kad. Mereka hanya perlu menyentuh kad kredit atau debit mereka di pintu kawalan automatik, yang mampu menjimatkan masa.

 

Bagaimana pula dengan tambang laluan yang ditawarkan adakah ia berpatutan?

Tambang yang dikenakan adalah sangat kompetitif dan tidak membebankan. Contoh­nya, tambang sehala penum­pang dewasa dari Seremban ke Kuala Lumpur ialah RM8.80 berbanding dengan RM10 sehala dengan menggunakan perkhidmatan bas.

Tambang konsesi juga diberikan kepada warga emas, golo­ngan OKU dan pelajar sekolah bagi mengurangkan beban kos pengangkutan seharian.

Kementerian Pengangkutan, memperuntukkan inisiatif MyRail life iaitu tambang percuma kepada pelajar darjah satu hingga tingkatan enam bagi per­khidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Utara serta perkhidmatan Shuttle Timuran di Pantai Timur.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×