Apabila legasi jenama adalah perkara utama yang harus dititik beratkan dalam jualan, keberadaan atau pun imej dalam setiap model yang dipasarkan, Harley-Davidson Street Glide tampaknya berjaya mengenengahkan konsep-konsep tersebut.
Walau dalam keadaan parkir atau statik, ia begitu mengujakan bila di pandang, sama ada dari hadapan, tepi atau belakang.
Apakah kelebihan yang ada pada jentera Amerika Syarikat (AS) ini? Walaupun diletakkan tanda harga beratus ribu ringgit untuk harga seunit, ia tetap ada pembelinya di serata dunia.
Saya dijemput oleh Harley-Davidson Petaling Jaya untuk menguji model Street Glide 2024 dan merasai sendiri legasi AS yang digembar-gemburkan selama ini.
REKA BENTUK
Bermula daripada bahagian hadapan. Lampu tunggal di tengah mempunyai sinaran LED yang seolah-olah terbahagi dua apabila hanya sinaran lampu biasa dinyalakan. Lampu utama tersebut mempunyai garisan lampu DRL yang mengikut bentuk bulat lampunya bahagian bawah lampu, dan ‘ditarik’ ke kiri dan kanan cowling yang bukan setakat menambah estetika jaluran lampu, tetapi ia juga turut berfungsi sebagai lampu isyarat membelok Street Glide ini.
Jika anda perhatikan garisan badannya dari hadapan, ke bahagian sisinya dan terus ke bahagian ekor motosikal ini, ia jelas menunjukkan rekaan aerodinamik, yang dikatakan mendapat sentuhan rekaan komputer. Ia juga dikatakan melalui proses pengujian aruhan udara dalam terowong angin.
Sehinggakan cermin penghadang angin hadapan juga telah ditambah baik daripada model tahun sudah untuk lebih aerodinamik.
Dari pengamatan visual juga, penggunaan roda hadapan bersaiz 19 inci dan 18 inci untuk roda belakang jelas mengukuhkan pendapat saya bahawa jentera ini sememangnya untuk menguasai lebuh raya dengan kebolehan kelajuan optimum dan pengendalian yang terbaik.
PENUNGGANGAN
Apabila fungsi sebenar jentera ini telah ditunjukkan secara terang-terangan oleh reka bentuk fizikalnya, sememangnya Street Glide ini begitu mudah untuk dikendalikan.
Pengambilan selekoh-selekoh panjang atas lebuh raya ini ternyata tidak langsung mendatangkan masalah. Tiada lagi gegaran enjin sehingga cermin pandang sisinya dapat melihat imej-imej pantulan atas cermin tersebut dengan baik.
Sesaran kapasiti enjin iaitu 1923cc, lengkap dengan tahap tork sebanyak 176 Nm pada kadar RPM serendah 3,250.
Ketika menunggang, dengan paparan skrin infotainmen tersebut yang bersaiz 12.3 inci, ia sangat-sangat mengujakan. Tambahan pula dua speaker kiri dan kanan yang turut mengalunkan lagu-lagu yang anda aturkan. Walau meter TFT yang baharu ini cukup berupaya untuk mempamerkan sistem audio yang boleh dikongsi bersama daripada alat peranti anda.
Malah, ia mesra Android atau Carplay, serta mampu berkongsi dan mempamerkan peta arah untuk kegunaan anda. Tidak ada keperluan lagi untuk menggantung telefon bimbit pada bar handel lagi. Ini adalah kerana paparan skrin pada Street-Glide ini cukup berwarna, cukup terang untuk digunakan.
Skrin infotainmen ini juga turut membolehkan perhubungan dengan alat peranti anda.
Saya menjangkakan, penunggangan daripada Pulau Pinang ke Johor tidak akan menyakitkan antara dua belikat lengan dari belakang. Kesakitan pada tulang punggung atau tulang tengah, seolah-olah tidak wujud.
Kusyen pelana sangat empuk pada bahagian punggung serta membolehkan kawasan tulang belakang bawah dapat disandarkan dengan bonggolan yang bersambung dengan pelana pembonceng belakang.
Untuk kupasan tentang prestasi enjin, jika anda dalam mod penunggangan santai, dapat dirasakan seperti keperluan untuk menukar gear seperti tidak wujud. Saya memulakan perjalanan dengan gear satu dan kemudian masuklah gear dua, tetapi saya seolah-olah terlalu santai dan selesa menunggang Street Glide ini, sehinggakan saya terlupa sudah untuk menukar gear-gear yang atas.
Gear-gear yang rendah, sangat berkuasa menarik jentera ini dari keadaan statik, namun saya merasai sendiri apabila penggunaan gear tiga yang berpanjangan sepatutnya mendatang bunyi-bunyi yang pelik atau mungkin tidak selancar yang selalu.
Jika kita ambil faktor saiz fizikalnya yang sememangnya besar. Jentera Street Glide ini adalah seberat 392.81 kilogram (kg). Maka elakkan ia daripada menunggang di kawasan-kawasan yang berpasir atau berlecak, takut nanti nak angkat semula motosikal menambah kecederaan yang sedia ada.
KESIMPULAN
Raja lebuh raya. Itulah yang boleh saya rumuskan tentang kebolehan Street Glide ini.
Sama ada anda ingin mengkategorikan jenis model Street Glide ini, terma cruiser bike atau touring anda akan berkecamuk fikiran.
Saya juga yakin dari segi ketahanan badan penunggang (dan pembonceng), jarak atau masa menunggang tidak menjadi faktor utama dalam pemilihannya.
Bagaimanapun, H-D ini bukan untuk golongan B40. Harga pasarannya bermula daripada RM190,900. Namun begitulah harga gaya hidup biker Amerika. Berminat?-UTUSAN










