PETALING JAYA: Ringgit berdepan cabaran yang ketara pada suku pertama 2024, sebahagian besarnya disebabkan jurang besar antara kadar dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dan kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, isu kadar faedah di AS merupakan isu utama yang membelenggu sentimen pasaran mata wang.
“Peserta pasaran buat masa ini menjangkakan pihak Rizab Persekutuan (Fed) mula mengurangkan kadar faedah pada September dan Disember tahun ini.
“Fed pula mengunjurkan kadar faedah hanya akan dikurangkan sekali pada tahun ini. Justeru, percanggahan dalam jangkaan masa penurunan kadar faedah di AS merupakan isu utama dalam pasaran mata wang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Afzanizam berkata, kelewatan penurunan kadar faedah di AS itu akan memberi kelebihan kepada dolar AS.
“Ia memandangkan banyak negara maju telah mula mengurangkan kadar faedah seperti Kanada, Switzerland, Sweden dan Kesatuan Eropah.
“Selagi pihak Rizab Persekutuan tidak mengurangkan kadar faedah, maka nilai ringgit akan kekal lemah disebabkan kadar faedah AS yang tinggi iaitu 5.50 peratus berbanding kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus,” katanya.
Sementara itu, Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) berkata, kelemahan mata wang menjadi penghalang kepada BNM untuk melonggarkan dasar bagi menyokong ekonomi, walaupun inflasi kekal rendah secara perbandingan, berlegar di bawah dua peratus sejak enam bulan lalu dan menunjukkan sedikit peningkatan.
“Cabaran ini berterusan sehingga Fed memulakan pemotongan kadar, dijangka berlaku pada suku ketiga, mengurangkan tekanan ke atas ringgit dan berpotensi membolehkan pelarasan kadar dasar.
“Bagi Asia Tenggara, ia berdaya tahan daripada jangkaan pada suku pertama 2024, namun tidak mungkin memacu pertumbuhan pada suku akan datang berikutan dasar monetari yang ketat di rantau ini dijangka akan mengekang perbelanjaan pengguna.
“Kelemahan berterusan mata wang tempatan berbanding dolar AS berkemungkinan akan mengehadkan langkah pelonggaran dasar monetari bank pusat Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ICAEW berkata, Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pemulihan sektor elektronik pada separuh kedua tahun ini memandangkan kedudukannya lebih rendah dalam rantaian nilai industri elektronik.
“Sektor elektronik Asia Tenggara diunjur berkembang sebanyak empat peratus pada 2024 dan 2025.
“Tetapi, unjuran itu adalah di bawah purata sebelum pandemik sebanyak lima peratus disebabkan jangkaan cabaran dalam penggunaan domestik berikutan kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh yang lama,” katanya. – UTUSAN










