Nilai jualan sektor pembuatan naik 5.7 peratus pada April - Utusan Malaysia

Nilai jualan sektor pembuatan naik 5.7 peratus pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM153.2 bilion pada April 2024, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 bulan, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut berikutan kesan nilai asas yang lebih rendah.

“Kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh nilai jualan dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain sebanyak 16.9 peratus, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (12.8 peratus) serta peralatan elektrik dan elektronik (2.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan menguncup 3.3 peratus daripada RM158.4 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Katanya, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 69.9 peratus daripada jumlah jualan telah meningkat sebanyak 3.4 peratus daripada negatif 0.1 peratus pada Mac 2024.

“Kenaikan tersebut didorong oleh pengembangan dalam industri pembuatan kimia dan produk kimia sebanyak 9.9 peratus, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (8.3 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal ( 2.9 peratus).,” katanya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, jelasnya, nilai jualan industri berorientasikan eksport jatuh sebanyak 3.9 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 10 peratus yang dicatatkan pada Mac.

“Industri berorientasikan domestik juga terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.4 peratus pada April berbanding 5.4 peratus pada Mac 2024.

“Kenaikan tersebut dipacu oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan, masing-masing melonjak sebanyak 23.1 peratus dan 17.0 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, bagi perbandingan bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan domestik menurun 1.9 peratus berbanding positif 4.7 peratus yang direkodkan pada Mac.

Selain itu, beliau berkata, seramai 2.37 juta orang pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada April yang meningkat 1.0 peratus berbanding 2.35 juta orang yang direkodkan setahun lalu.

“Kenaikan itu sebahagian besarnya dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau sebanyak 4.7 peratus, diikuti produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.3 peratus) serta kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.3 peratus).

“Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat secara marginal 0.4 peratus,” katanya.

Tambahnya, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan tumbuh 1.2 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan RM8.11 bilion pada April, seiring dengan kenaikan bilangan pekerja.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah terus menurun sebanyak 1.4 peratus daripada RM8.23 bilion yang direkodkan pada Mac, manakala purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja adalah RM3,419 pada April.

“Ia peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding setahun lalu, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja bertambah baik sebanyak 4.6 peratus untuk merekodkan RM64,583,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN