PETALING JAYA: Kesan rasionalisasi diesel sebanyak RM3.35 seliter bermula semalam kepada kadar inflasi secara teorinya adalah minimum berikutan pemberat diesel di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya 0.2 peratus sahaja, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini bermakna penggunaan minyak diesel dalam kalangan pengguna di Malaysia adalah rendah.
“Namun, kesan tidak langsung seperti peningkatan harga barang oleh para peniaga adalah suatu risiko yang boleh berlaku.
“Justeru, tahap pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berwajib perlu ditingkatkan bagi mengekang amalan mengambil untung yang berlebihan oleh para peniaga,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, bantuan bersasar sebanyak RM200 menerusi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) adalah lebih tertumpu kepada yang layak sekali gus menghapuskan peluang bagi penyeludup untuk mengambil kesempatan.
“Dalam pada itu, mereka yang tidak layak akan membayar harga bahan api pada tingkat harga pasaran.
“Justeru, pembaziran subsidi dapat ditangani dengan pemberian tunai kepada golongan yang layak. Oleh itu, mekanisme ini mungkin boleh diguna pakai bagi RON95 juga.
“Bagaimanapun, pemberat minyak petrol pula adalah 5.5 peratus, menjadikan kesan kenaikan harga RON95 kepada inflasi adalah signifikan,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jangkaan kadar inflasi pada julat 2.0 hingga 3.5 peratus oleh Bank Negara Malaysia sudah pun mengambil kira kesan pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan.
Jelasnya, harga barangan sepatutnya tidak naik berganda kerana kerajaan memberikan subsidi kepada syarikat-syarikat logistik dan pengangkutan yang terbabit, yang bertujuan meminimumkan kenaikan harga barangan terutamanya barangan keperluan.
“Namun, tidak dinafikan akan ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan pemantauan agensi kerajaan diperlukan untuk memastikan kenaikan kos sara hidup tidak melarat,” ujarnya.
Menurutnya, harga diesel pada RM3.35 adalah mengikut harga pasaran yang diluluskan oleh kerajaan dan masih lagi antara yang terendah berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara kecuali Brunei.
“Harga yang lebih tinggi di negara lain mungkin disebabkan pelbagai perkara seperti cukai tambahan dari kerajaan, kos logistik serta faktor mata wang yang unik bergantung kepada negara masing-masing.
“Jadi, aktiviti penyeludupan bahan api diesel ke negara jiran akan berkurangan kerana jurang harga minyak diesel Malaysia dan negara-negara jiran tidak lagi terlalu jauh seperti dulu.
“Kalau masih ada aktiviti penyeludupan, ia akan berubah dari masa ke semasa atau pun berubah kepada produk RON95 yang masih lagi disubsidi kerajaan,” jelasnya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, kenaikan sebanyak RM1.20 seliter.
Bagaimanapun, kadar tersebut boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).
Bermula kelmarin juga, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel individu menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama menerusi Budi Madani. – UTUSAN