Indeks harga seunit papan lapis catat peningkatan 1.6 peratus - Utusan Malaysia

Indeks harga seunit papan lapis catat peningkatan 1.6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit papan lapis mencatatkan peningkatan 1.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd.Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 1.7 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Mei berbanding bulan lalu.

“Peningkatan tertinggi di Perak (1.7 peratus), diikuti dengan kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.8 peratus) dan kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus),” katanya dalam kenyataan. 

Mohd Uzir turut menyatakan bahawa perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, terdapat peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Kuching (1.0 peratus) dan Kota Kinabalu (0.2 peratus). 

Sementara itu, jelas Mohd. Uzir, penurunan dalam indeks harga bahan ini direkodkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-0.1 peratus) dan Tawau (-0.2 peratus). 

“Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mei 2024. 

“Namun begitu, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Terengganu & dan Kelantan (0.5 peratus) dan Perak (0.4 peratus),” katanya. 

Mohd. Uzir berkata, perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2023 dan Mei 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 3.0 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Katanya, peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis (3.0 peratus) diikuti oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.6 peratus dan Terengganu serta Kelantan (2.4 peratus). 

“Indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 5.2 peratus pada Mei 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Namun begitu, terdapat sedikit peningkatan bagi indeks bahan ini di Johor (0.7 peratus),” katanya. 

Beliau turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.7 peratus) dengan purata harga RM3,730.46 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (April 2024: RM3,702.88 per tan metrik). 

“Selain itu, purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan kecil (0.1 peratus) dengan purata harga RM23.04 per 50 kilogram (Kg) sekarung berbanding April 2024 (RM23.01 per 50 kg sekarung),” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, bagi perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada bulan Mei 2024 meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.2 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia. 

“Namun begitu, terdapat sedikit penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus bagi IKB termasuk bar keluli bagi kategori bangunan Bangunan Kayu dan Cerucuk Kayu di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus dan 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu kecuali Kerangka Besi Satu tingkat (Bangunan) dan Kerangka Besi Satu Tingkat (Menara sahaja). IKB termasuk bar keluli di Sandakan menunjukkan penurunan kecil iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.3 peratus bagi kategori bangunan kayu, cerucuk kayu dan cerucuk (Konkrit Tetulang) pada Mei 2024 berbanding bulan sebelumnya,” katanya. 

Tambah Mohd. Uzir, selain daripada itu, IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Tawau pula menunjukkan penurunan kecil (-0.1 peratus). 

“Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada Mei 2024 menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching manakala, IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu dan Miri pula kekal tidak berubah,” katanya. 

Berdasarkan perspektif global, menurut artikel dari laman sesawang World Bank, Mei 2024, indeks harga logam dan mineral meningkat sembilan peratus pada April 2024 (bulan-ke-bulan). 

Kenaikan harga baru-baru ini mencerminkan sentimen positif tentang permintaan yang lebih kukuh di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan untuk beberapa logam utama. 

Harga logam asas dijangka kekal stabil pada 2024, sebelum meningkat sedikit pada 2025. 

Rangsangan tambahan dalam sektor hartanah di China dan gangguan bekalan merupakan risiko kenaikan utama dalam ramalan harga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya