PETALING JAYA: Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) menjangkakan harga bahan binaan meningkat 10 hingga 15 peratus susulan pelarasan subsidi diesel.
Presidennya, Sr. Idzwan Izuddin Shah Ishak berkata, ia berikutan pihaknya mendapat maklum balas daripada beberapa pemaju yang akan mengkaji semula hartanah yang ingin dijual (kediaman yang masih dalam pembinaan) rentetan daripada pelarasan subsidi diesel tersebut.
“Saya menjangkakan kenaikan harga kediaman (baharu) juga akan terkesan kerana pemaju terpaksa menyerap kenaikan harga diesel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Persatuan itu kini mempunyai lebih 1,200 ahli terdiri ejen hartanah, penilai hartanah dan pengurus hartanah.
Jelas Idzwan Izuddin, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar subsidi diesel bersasar diperluas kepada kenderaan yang berkaitan pembangunan hartanah.
“Sekarang, ada sesetengah kontraktor pembinaan sudah pun menaikkan harga bahan binaan kerana kenaikan kos diesel (penghantaran).
“Seandainya kos tersebut dapat dikawal, harga bahan binaan juga akan kekal sekali gus tidak membebankan pembeli rumah,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula 10 Jun lalu.
Bagaimanapun, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter. – UTUSAN










