KUALA TERENGGANU: Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pendapatan sebanyak RM380 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili berkata, sasaran itu adalah peningkatan hampir RM36 juta berbanding perolehan sebanyak RM344 juta yang direkodkan pada tahun 2023.
Menurutnya, EPIC optimis dapat mencapai sasaran itu kerana rekod prestasi syarikat kekal cemerlang sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
“Prestasi kewangan yang kukuh sepanjang tahun 2023 dan setakat Mei lalu jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi Kumpulan EPIC.
“Pihak syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan.
“Prestasi lima bulan pertama tahun ini berakhir dengan rekod cemerlang keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM15.5 juta melebihi sasaran awal keseluruhan PAT bagi tahun 2024 iaitu RM14.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan EPIC untuk menaik taraf surau di Pantai Batu Buruk di sini, semalam.
Tambahnya, perolehan sebanyak RM344 juta yang direkodkan pada tahun 2023 adalah peningkatan yang positif berbanding perolehan RM343.1 juta untuk tahun 2022.
Beliau berkata, pertumbuhan perolehan dijangka meningkat dengan lebih baik sepanjang tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.
“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal kukuh pada jumlah RM81 juta jelas mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan.
“Sorotan yang begitu memberangsangkan sepanjang tahun 2023 ialah lonjakan PAT sebanyak RM8.9 juta, lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada tahun sebelumnya.
“Prestasi memberangsangkan ini adalah kesan peningkatan kecekapan operasi syarikat dan hasil pengurusan kos yang efektif,” katanya.-UTUSAN









