Dividen KWSP tahun ini dijangka lebih baik - Utusan Malaysia

Dividen KWSP tahun ini dijangka lebih baik

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku pertama jelas menunjukkan pelaburan institusi dana persaraan tersebut mendapat manfaat secara langsung apabila prestasi pasaran kewangan global meningkat secara positif.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, strategi pelaburan yang mementingkan kepelbagaian portfolio ternyata berkesan bukan hanya mengurangkan risiko pelaburan namun mengembangkan pulangan pelaburan.

“Justeru, sekiranya prestasi dapat dikekalkan, dividen KWSP pada tahun ini seharusnya lebih baik.

“Oleh itu, ahli disaran untuk terus menyimpan dan tidak sewenang-wenangnya membuat pengeluaran bagi mengoptimumkan pulangan mereka di dalam KWSP,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, KWSP mengumumkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024, naik 33.1 peratus daripada RM14.42 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.20 bilion pendapatan boleh agih dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM2.64 bilion untuk Simpanan Syariah.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi kumpulan tersebut untuk suku pertama memberikan momentum yang baik untuk tahun ini yang mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi dari tahun lalu.

“Prestasi yang memberangsangkan iaitu 33.1 peratus atau RM19.2 bilion bagi suku pertama tahun ini sekiranya konsisten boleh memberikan pulangan dividen yg lebih tinggi dari 5.5 peratus tahun 2023 yang lalu.

“Ini didorong oleh keseimbangan pulangan dari pelaburan domestik sebanyak 62 peratus apabila prestasi Bursa malaysia meningkat pada suku pertama dan semakin baik pada suku kedua ini.

“Selain itu, baki 38 peratus pula dari pelaburan luar negara masih memberikan pulangan yang baik berdasarkan Rizab Persekutuan AS (Fed) Amerika Syarikat (AS) masih mengekalkan kadar faedahnya sehingga kini, jadi pelaburan luar negara seperti pegangan bon perbendaharaan AS memberikan pulangan yang tinggi lagi buat masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN