Untung bersih Public Bank susut kepada RM1.65 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih Public Bank susut kepada RM1.65 bilion

public bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Public Bank Group jatuh 3.5 peratus kepada RM1.65 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM1.71 bilion bagi suku sama tahun sebelumnya.

Menurut pemfailannya di Bursa Malaysia, penurunan tersebut terutamanya disebabkan oleh kesan positif kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang tidak berulang dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Bagi suku sama, bank merekodkan pertumbuhan hasil operasi sebanyak RM6.79 bilion, berbanding RM6.12 bilion yang dilaporkan pada suku pertama 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, pendapatan bersih meningkat 3.7 peratus kepada RM3.38 bilion berbanding suku sebelumnya yang berakhir 31 Disember 2023.

Katanya, dengan margin faedah bersih atau margin pembiayaan yang stabil sebanyak 2.21 peratus, faedah bersih dan pendapatan pembiayaan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM2.71 bilion.

“Sementara itu, pendapatan bukan faedah mencatatkan pertumbuhan 7.9 peratus kepada RM649.6 juta.

“Bagi suku pertama 2024, kumpulan terus mengekalkan pulangan bersih yang membanggakan ke atas ekuiti sebanyak 12.3 peratus, nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 35.4 peratus dan kualiti aset yang stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar sebanyak 0.62 peratus,” katanya.

Pada suku pertama 2024, Public Bank Group mengekalkan pertumbuhan pinjaman yang baik pada kadar tahunan 6.3 peratus.

Menurutnya, pinjaman domestik kumpulan meningkat pada kadar tahunan 5.9 peratus kepada RM378.2 bilion, mengatasi kadar pertumbuhan pinjaman tahunan industri perbankan Malaysia sebanyak 5.3 peratus.

“Pembiayaan hartanah kediaman domestik kumpulan, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan hartanah komersial meningkat pada kadar tahunan masing-masing 5.6 peratus, 17.3 peratus dan 4.0 peratus,” ujarnya.

Mengulas mengenai prospek 2024, Ah Lek berkata, kumpulan akan berwaspada dalam pendekatan perniagaannya dan akan terus mengekalkan profil risiko berhemat untuk menghadapi risiko yang berterusan.

“Menerusi prospek ekonomi yang lebih baik, kumpulan akan terus mengambil pendekatan proaktif untuk menerima peluang pertumbuhan.

“Kumpulan juga akan terus meneruskan transformasi digital dan meningkatkan lagi usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang dinamik hari ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya