Sentoria peroleh kelulusan padu terbit RCB

Sentoria peroleh kelulusan padu terbit RCB

RAS Adiba Mohd Radzi (kanan) dan Loh Yuen Tuck pada mesyuarat agung luar biasa Sentoria baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentoria Group Berhad (Sentoria) menerima sokongan padu daripada hampir 99.9 peratus  pemegang saham yang layak mengundi untuk cadangan menerbitkan bon boleh tukar boleh tebus (RCB) pada mesyuarat agung luar biasanya baru-baru ini.

Menurut kenyataannya, RCB yang bakal dilaksanakan secara bersama dengan inisiatif penggabungan saham tersebut menerima sokongan padu termasuk entiti pelaburan Negeri Pahang yang juga merupakan pemegang saham kedua terbesar Sentoria.

Katanya, sokongan ini mencerminkan keyakinan pemegang saham terhadap usaha memberi nafas baharu buat Sentoria. 

“Berikutan kelulusan bersyarat oleh Bursa Malaysia bulan lepas, kelulusan resolusi RCB yang diberikan ini bakal memuktamadkan penerbitan peringkat awal bon yang distrukturkan dalam tiga tranche utama dengan pematuhan piawaian kawal selia,” katanya.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Sentoria, Datuk Ras Adiba Radzi dengan dihadiri oleh semua ahli Lembaga Pengarah.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Loh Yuen Tuck berkata, syarikat sedang dalam fasa pemulihan korporat yang menyeluruh. 

“RCB berperanan dalam menyegarkan aliran tunai Sentoria, melunaskan komitmen dengan bank, menyegerakan penyiapan semua projek perumahan tertangguh di Teluk Morib, Selangor serta menghidupkan kembali taman tema menerusi perkongsian strategik. 

“Secara tuntas, kelulusan cadangan RCB membolehkan Sentoria menunaikan janji kepada para pembeli kediaman Sentoria, menyelesaikan isu berbangkit dengan pihak bank berkaitan pinjaman belum bayar, membiayai projek baru di Morib, menghidupkan semula operasi taman tema di Gambang, Pahang dan Samariang, Sarawak. 

“Semua ini akan meningkatkan nilai hartanah sekali gus memberikan pulangan yang mampan buat pemegang saham serta pulangan yang adil kepada insitusi perbankan yang menyokong Sentoria,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penerbitan bon RCB yang dilaksanakan secara bersama dengan inisiatif penggabungan saham, dalam nisbah empat kepada satu unit saham, mencerminkan komitmen Sentoria terhadap pengurusan kewangan yang fleksibel dan berdisiplin. 

RCB membolehkan Sentoria untuk mendapatkan dana dari pasaran (modal) dan bon RCB ini telah dilanggan sepenuhnya oleh Triton Capital VCC berpangkalan di Singapura. 

Penasihat utama bon RCB telah menstruktur bon RCB sebagai bon boleh tukar iaitu bon RCB akan ditukarkan kepada saham biasa dengan jumlah maksimum saham boleh tukar ditetapkan pada 306,690,544. 

Saham tukaran ini adalah tambahan kepada saham sedia ada (setelah penggabungan) sebanyak 155,744,497 (termasuk saham perbendaharaan). 

Nilai agregat bon RCB sebanyak RM150 juta bakal digunakan untuk menyokong inisiatif pembangunan perniagaan, membaiki aliran tunai, mengurangkan pinjaman bank serta meningkatkan modal kerja syarikat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN