HAMPIR sedekad berada dalam industri seni, penyanyi, Ismail Izzani mengakui perjalanan panjang itu banyak mengubah cara dia melihat kehidupan, kerjaya dan dirinya sendiri.
Bermula pada usia belasan tahun, pemilik nama penuh, Ismail Izzani Zainal Nazeri ini pernah merasai fasa nama dijulang tinggi sebelum melalui tempoh sukar yang akhirnya banyak mematangkannya.
Kini, penyanyi berusia 26 tahun itu lebih berhati-hati dalam memilih perkara yang mahu dikongsi kepada umum, terutama berkaitan kehidupan peribadi. Jika dahulu dia selesa berkongsi tentang hubungan, emosi dan rutin harian di media sosial, pendekatan itu kini berubah.
Menurut Ismail, keputusan tersebut dibuat selepas dia mengambil masa untuk menjauh daripada media sosial dan mengenali dirinya dengan lebih baik.
“Ada beberapa tahun saya benar-benar mendiamkan diri dan menjauh daripada media sosial untuk mengenali diri sendiri dengan lebih baik, memperbaiki perkara yang kurang dalam diri serta mendekatkan diri dengan keluarga dan rakan-rakan.
“Media sosial sekarang sudah jauh berbeza dan semakin maju. Kalau enam atau 10 tahun akan datang saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, sudah tentu saya mahu kebahagiaan itu kekal dalam keluarga dan tidak mahu perkara di luar memberi kesan kepada mereka.
“Semua perkara itu banyak membantu saya untuk berada pada tahap sekarang. Jadi, daripada hanya memikirkan kehidupan saya sekarang, keputusan ini sebenarnya dibuat untuk masa depan saya dan keluarga juga,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Ismail, tempoh dirinya mendiamkan diri itu juga secara tidak langsung disifatkan sebagai penjenamaan semula diri dengan pendirian yang lebih matang dan tenang.
“Dahulu saya banyak berkongsi perkara peribadi. Sampai satu tahap, saya tidak kisah orang tahu apa sahaja. Saya kongsi gambar dan memuat naik gambar bersama pasangan dan sebagainya.
“Tetapi apabila difikirkan kembali, kita sebenarnya mempunyai pilihan. Kita boleh menunjukkan kepada orang betapa gembira atau sedihnya kita. Bagi saya sekarang, kalau perkara berkaitan emosi boleh disimpan, lebih baik simpan.
“Memang bukan mudah untuk berada di mata umum tetapi pada masa sama cuba menjaga privasi kehidupan peribadi,” jelasnya.

Masa lalu terus diungkit
Pernah terpalit dengan kontroversi yang mencemarkan nama baiknya, tidak semua yang bergelar anak seni mampu memulihkan reputasi mereka sekelip mata.
Maklumlah, dia masih muda dan jiwanya juga ligat mahu melakukan segalanya tanpa sedar akhirnya mengundang kejatuhan yang meninggalkan bekas bertahun lamanya.
Dalam usaha membina versi diri yang lebih baik, Ismail tidak menafikan antara cabaran paling sukar adalah apabila masa lalunya terus dijadikan ukuran biarpun dia sendiri sudah cuba melangkah ke hadapan.
Menurut Ismail, situasi itu membuatkan proses untuk berubah menjadi lebih sukar kerana seseorang bukan sahaja perlu berdamai dengan diri sendiri, malah perlu berhadapan persepsi orang lain.
“Ketika saya sudah bergerak 10 tahun ke hadapan, mereka masih berada 10 tahun di belakang. Mereka masih mengungkit perkara yang pernah saya lakukan atau perkara yang pernah berlaku sedangkan saya sendiri sudah meneruskan kehidupan.
“Bayangkan kalau orang luar sendiri tidak boleh melepaskan masa lalu saya, bagaimana pula dengan saya yang berada di sini dan cuba melupakannya sedangkan masih ada orang yang mengingatkan saya tentang perkara tersebut?,” luahnya.
Namun, pengalaman mengajarnya bahawa tidak semua perkara perlu dibalas, bagi penyanyi lagu One On One itu berdiam diri adalah pilihan terbaik untuk mematikan segala tanggapan manusia.
“Kita tidak boleh mengubah orang. Bagi saya, kadang-kadang diam adalah kunci untuk mengendalikan masalah sendiri. Kita tidak perlu memberitahu semua orang bagaimana kita menghadapinya.
“Satu perkara yang memberikan impak besar kepada saya adalah keputusan. ‘Keputusan’ mungkin kedengaran seperti perkataan yang mudah, tetapi keputusan yang kita buat boleh menghasilkan kesan sangat berbeza.
“Saya tidak akan mendapat apa-apa kalau terus melawan atau cuba memuaskan hati semua orang kerana akhirnya kita memang tidak boleh membuatkan semua orang suka, sayang atau berpuas hati dengan kita,” kongsinya.

Jatuh bangun bentuk kematangan
Menoleh kembali perjalanan hampir 10 tahun dalam industri, Ismail percaya pengalaman berada di puncak dan kemudian melalui fasa sukar adalah perjalanan hidup termanis yang banyak membentuk dirinya.
Hari ini, dia tidak lagi melihat pengalaman pahit sebagai sesuatu yang perlu disesali, sebaliknya setiap kejatuhan dianggap sebahagian proses mengenali diri yang tidak mungkin berlaku dalam tempoh singkat.
“Saya rasa Tuhan mahu menunjukkan kepada saya bagaimana rasanya berada di atas dan bagaimana rasanya berada di bawah. Semuanya boleh berlaku dalam sekelip mata. Saya bermula sangat muda dan pada awalnya semuanya berjalan lancar.
“Empat tahun pertama dalam industri terasa seperti magis. Ketika orang mula mengenali saya, mungkin ada banyak perkara yang saya terlepas pandang sebagai seorang manusia, bukan sebagai artis.
“Untuk berada di tahap sekarang dan melalui segala perkara yang pernah saya lalui, saya rasa kalau semua itu tidak berlaku, saya mungkin tidak akan menjadi diri saya hari ini. Saya sangat bersyukur kerana pernah merasakan kedua-dua keadaan, berada di atas dan berada di bawah.

“Sebagai manusia, kita tidak boleh mengubah diri dalam sehari atau dua. Ia mengambil masa bertahun-tahun. Semua cabaran yang saya lalui itulah banyak membentuk diri saya hari ini,” tambahnya.
Sedar segala yang dilalui dalam industri seni membuatkan dirinya semakin membumi, anak kepada pelakon dan penyanyi, Suliza Salam itu melihat status sebagai ‘artis’ itu hanyalah setara dengan manusia biasa.
“Saya tidak pernah merasakan diri ini seperti, ‘Akulah artis, akulah diva.’ Mungkin kerana sejak kecil, ibu saya menunjukkan perkara-perkara kecil melalui caranya melayan orang.
“Bukan dengan mengajar secara langsung, tetapi saya melihat bagaimana dia sentiasa menyapa orang dan tersenyum.
“Bagi saya, menjadi penyanyi bukan satu gelaran atau kedudukan yang membuatkan seseorang perlu menjadi individu berbeza. Penyanyi hanya berkongsi seni dan muzik untuk dinikmati orang serta menghiburkan mereka,” ujarnya.










