Petronas umum penemuan hidrokarbon ketiga di pesisir Suriname - Utusan Malaysia

Petronas umum penemuan hidrokarbon ketiga di pesisir Suriname

PETRONAS umum penemuan hidrokarbon ketiga di Suriname. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Subsidiari Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Suriname E&P BV telah membuat penemuan hidrokarbon ketiga di Blok 52, luar pesisir Suriname, Amerika Selatan.

Menurut kenyataan, penemuan itu adalah di telaga penerokaan Fusaea-1 di Blok 52, yang terletak kira-kira 170 kilometer luar pesisir dan sembilan kilometer dari timur Roystonea-1.

“Penilaian lanjut sedang dijalankan bagi menentukan tahap penuh penemuan ini selain potensinya untuk pembangunan bersepadu dengan Roystonea-1 dan Sloanea-1 yang turut ditemui baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Petronas Suriname E&P merupakan pengendali Blok 52 dengan 50 peratus kepentingan penyertaan secara bersama dengan ExxonMobil.

Telaga itu telah digali pada Februari 2024 dan berjaya digerudi sehingga kedalaman 5,227 meter.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, hasil penerokaan telaga Fusaea-1 telah mengukuhkan kedudukan Petronas di Suriname sebagai pemain utama dalam sumber hidrokarbon, berikutan kejayaan penemuan Sloanea-1 dan Roystonea-1.

Naib Presiden Penerokaan, Mohd. Redhani Abdul Rahman pula berkata, penemuan hidrokarbon ketiga secara ketara telah memperluaskan prospek serta potensi pembangunan minyak dan gas bersepadu dalam Blok 52.

“Dalam mengejar sumber bahan yang mampan dan bernilai tinggi, Petronas kekal komited dalam aktiviti penerokaan di kawasan tumpuan terpilih sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi portfolionya,” katanya.

Blok 52 terletak di utara pantai bandar Paramaribo, Suriname dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana yang berpotensi.

Selain Blok 52, Petronas Suriname E&P mengendalikan Blok 48 dan Blok 63 dengan 100 peratus kepentingan penyertaan serta 30 peratus kepentingan bukan operasi di Blok 64. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya