Pesara tentera kini usahawan rempah masak hitam

Pesara tentera kini usahawan rempah masak hitam

AZARUDDIN menunjukkan rempah masak hitam atas jenama Rempah Masak Hitam Zahra yang dikeluarkan oleh syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA memulakan perniagaan rempah masak hitam lima tahun lalu, Azaruddin Sulaiman, 49, hanya membilang hari untuk mencapai usia persaraan.

Berbekalkan modal sekitar RM850, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pangkat akhir Pegawai Waran 1 itu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah sebagai persediaan apabila tamat tempoh perkhidmatannya pada Jun 2020.

Meskipun tiada pengalaman atau kepakaran dalam pembuatan rempah masak hitam, bekas kru kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman nekad menjadikan perusahaan itu sebagai antara punca rezeki keluarga.

Siapa sangka, daripada hanya menghasilkan 1,000 pek rempah masak hitam melalui bancuhan 18 kilogram, kini empayar perniagaan di bawah nama Zahra Empire Marketing itu mampu mengeluarkan 36,000 pek, setahun.

Menceritakan detik permulaannya, anak jati Lenggong itu berkata, rempah masak hitam dipilih sebagai produk keluaran syarikat setelah melihat potensi hidangan tradisional itu untuk dijadikan makanan warisan negara.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil kerana Lembah Lenggong sendiri telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan. 

“Sebelum bersara, saya memang ikuti perkembangan Lenggong. Apabila lokasi ini mendapat pelbagai pengiktirafan, saya berfikir apa yang boleh dilakukan untuk sama-sama memperkenalkan Lenggong. 

“Di Lenggong memang sudah terkenal dengan pekasam, jika orang datang ke sini, kunjungan mereka ibarat tidak lengkap jika tidak membeli pekasam. 

“Jadi, perkara sama saya mahu lihat untuk rempah masak hitam, saya mahu orang yang datang ke Lenggong juga bawa pulang rempah masak hitam, itu cita-cita saya,” katanya.

Azaruddin berkata, ramuan rempah masak hitam itu diformulasi sendiri olehnya dan isteri, Norhasnani Azhari, 36, menggunakan 100 peratus rempah ratus asli tanpa bahan campuran lain.

Katanya, keaslian Rempah Masak Hitam Zahra itu menjadikan ia istimewa bukan sahaja untuk hidangan berkenaan malah boleh digunakan untuk masakan lain seperti perapan ayam dan daging, kari, mi dan bihun goreng.

“Dahulu, jika mahu makan hidangan masak hitam ini perlu tunggu kenduri kerana cara penyediaannya tidak mudah. Hanya orang lama sahaja yang pandai buat.

“Jadi, kita hasilkan rempah masak hitam ini. Kita mahu memudahkan orang ramai untuk masak, dengan hanya 15 minit sahaja mereka boleh menikmati hidangan masak hitam ini sama seperti air tangan orang-orang dulu,” ujarnya.

Jelasnya, Rempah Masak Hitam Zahra dijual dalam dua saiz iaitu pek RM4 bagi masakan satu kilogram daging manakala pek RM17 bagi lima kilogram daging.

Katanya, selain dijual melalui platform media sosial seperti Shopee dan TikTok, rempah yang dihasilkannya turut dibeli secara borong oleh pengusaha katering dan pekedai yang membuat pembungkusan semula.

“Saya menyasarkan rempah masak hitam ini dijual di pasar raya kerana permintaannya memang ada. Setakat ini, rempah ini telah dijual di pasaran luar termasuk di Australia,” katanya.

Ketika ditanya cabaran dalam perniagaan, Azaruddin berkata, dia memulakan perniagaan tanpa pinjaman dari mana-mana institusi kewangan sebaliknya hanya menggunakan wang pencen.

Katanya, dengan wang persaraan itu, dia membina bangunan yang dijadikan ‘mini kilang’ di Bukit Nangka, Lenggong bagi memproses dan membungkus rempah masak hitam.

“Ketika berpindah dari rumah ke bangunan baharu ini, negara sedang dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan, jadi jualan ketika itu agak merosot.

“Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana mempunyai ejen di seluruh negara malah promosi di media sosial juga banyak membantu jualan,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai pesara tentera, dia mendapat bimbingan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) melalui penyertaan kursus selain dibantu dari segi papan tanda, kad perniagaan, risalah dan kod bar.

“Saya juga diberi kursus pengurusan kewangan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang. Bantuan-bantuan ini banyak membantu saya ketika mula berniaga lima tahun lalu,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menjana pendapatan bersama Rempah Masa Hitam Zahra dipelawa turut serta dengan menghubungi Azaruddin di talian 013-2663083 dan Norhasnani, 019-7615330.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×