PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad (Paramount) mengumumkan kumpulan itu mempercepat pelan pengembangan luar negaranya dengan pengambilalihan pegangan ekuiti 21.54 peratus dalam Eco World International Berhad (Eco World International).
Paramount, melalui anak syarikat milik penuhnya, Flexsis Sdn Bhd, memperoleh 517 juta saham Eco World International pada 33 sen sesaham, daripada GLL EWI (HK) Limited, untuk jumlah balasan tunai iaitu RM170.6 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Jeffrey Chew berkata, bagi melangkah untuk lebih ke hadapan, Paramount dan Eco World International boleh bekerjasama dan mencipta sinergi baharu dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran masing-masing.
Katanya, Eco World International mempunyai projek pembangunan di London, Sydney dan Melbourne melalui usaha sama dan anak syarikat, dengan baki nilai pembangunan kasar RM8.6 bilion pada 29 Februari 2024.
“Permintaan untuk rumah di London dan kawasan sekitarnya kekal sebagai sumber peluang sekarang dan dalam jangka panjang, malah kadar sewa adalah tinggi dan telah meningkat disebabkan bekalan yang terhad sejak 2021, selepas Covid-19.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kadar kelulusan gadai janji telah meningkat dan tinjauan Institusi Diraja Juruukur Bertauliah (RCIS) menjangkakan harga rumah akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang di seluruh United Kingdom,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, sejak Paramount melupuskan perniagaan pendidikan pada tahun 2018, Kumpulan itu mencari peluang untuk mengambil bahagian dalam kepentingan perniagaan baharu.
Beliau berkata, untuk mempelbagaikan asas pendapatan di dalam dan luar Malaysia, kesemua pelan perniagaan kesemuanya dimasukkan ke dalam pelan strategik bagi 2020 hingga 2025.
Katanya, sejak dari itu, Paramount melabur dengan pelbagai syarikat permulaan dalam ruang digital dan berkembang ke pembangunan hartanah Bangkok melalui usaha sama.
“Pemerolehan ini memberikan peluang yang tepat pada masanya dan strategik untuk Paramount untuk mempercepatkan rancangan pengembangan kami di luar Malaysia, malah, di luar Asia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa yang sama, katanya, ia membolehkan Paramount mempunyai kepentingan yang besar dalam syarikat tersenarai Malaysia yang mantap yang pakar dalam pembangunan hartanah di luar negara.
Paramount juga menceburi usaha niaga ekuiti dengan pemaju butik Thailand pada 2020, dan melabur RM24.6 juta dalam kedua-dua hutang dan ekuiti bagi pembangunan Na Reva Charoennakhon, sebuah kondominium pegangan bebas 29 tingkat di Bangkok. – UTUSAN










