MITI jana RM2.4 bilion potensi eksport ke tiga negara - Utusan Malaysia

MITI jana RM2.4 bilion potensi eksport ke tiga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh RM2.4 bilion potensi eksport barangan dan perkhidmatan melalui lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei lalu.

Potensi eksport itu melibatkan sektor elektrik dan elektronik (E&E), produk berasaskan minyak sawit, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), penyelesaian tenaga dan perindustrian, makanan dan minuman (F&B), perabot, produk dan perkhidmatan halal, minyak dan gas, bahan binaan dan pembinaan, perkhidmatan profesional serta barang kemas.

Komitmen eksport ini dibuat oleh ketua industri dalam mesyuarat meja bulat berasingan dengan Datuk Seri Anwar di Kazakhstan dan Uzbekistan.

Hasil yang menggalakkan ini menandakan pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara-negara Asia Tengah.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya berbesar hati berjaya mencapai RM2.4 bilion dalam potensi eksport terkumpul daripada perniagaan di Kazakhstan dan Uzbekistan.

“Angka penting ini disahkan melalui mesyuarat meja bulat di kedua-dua negara yang mencerminkan kepercayaan komuniti perniagaan mereka yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai rakan strategik dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Zafrul berkata, MITI akan memastikan komitmen eksport itu direalisasikan secepat mungkin untuk menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Melalui kehadiran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Almaty dan Tashkent, kami akan mengembangkan peluang perniagaan syarikat Malaysia di rantau Asia Tengah dan MITI memastikan ini diterjemahkan kepada peluang komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerjaan rakyat Malaysia,” katanya.

Semasa lawatan ke Uzbekistan, Malaysia dan Uzbekistan turut bersetuju mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC).

Selain itu, Anwar juga menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan dua hala dan ekonomi dalam menghadapi cabaran global yang kompleks, sekali gus mengulangi komitmen negara membina hubungan perdagangan, pelaburan dan budaya yang kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN