GEORGE TOWN: Kerajaan negeri menyangkal dakwaan pembangunan projek Pulau Silikon menjejaskan hasil tangkapan nelayan di kawasan selatan pulau itu apabila data pendaratan ikan menunjukkan terdapat peningkatan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol berkata, jumlah pendaratan ikan yang diisytiharkan nelayan di kawasan Teluk Kumbar dan Batu Maung sebagai contoh, mencatatkan peningkatan daripada 472.44 tan pada 2023 kepada 496.57 tan tahun lalu.
Katanya, perkembangan itu membuktikan tiada pengurangan ketara hasil tangkapan nelayan seperti didakwa sesetengah pihak sekali gus menyangkal dakwaan bahawa pembangunan tersebut telah menjejaskan sektor perikanan di kawasan berkenaan.
“Setakat maklum balas yang diperoleh juga menunjukkan bahawa nelayan di kawasan projek Pulau Silikon tidak mengalami keadaan tiada tangkapan hasil laut akibat kerja-kerja tersebut,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Rashidi (BN-Sungai Acheh) menjawab soalan Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) mengenai nasib nelayan yang didakwa semakin terhimpit akibat pembangunan dan peningkatan kos operasi.
Menurut Rashidi, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan komuniti nelayan melalui pelbagai intervensi termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dan Skim Subsidi Diesel serta Petrol Nelayan bagi mengurangkan beban kos operasi.
Katanya, kerajaan negeri tidak membayar pampasan kerana tiada nelayan atau penduduk yang perlu dipindahkan susulan kerja tambakan Pulau Silikon, namun, bayaran ex-gratia tetap disalurkan sebagai tanda ihsan dan komitmen sosial menerusi Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
“Sehingga kini, seramai 795 nelayan yang berdaftar dan layak telah menerima bayaran ex-gratia berjumlah RM11.85 juta,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk pemberian bot dan enjin lebih besar kepada nelayan, bantuan pendidikan untuk anak nelayan serta penubuhan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB).
Menurutnya, di bawah Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) pula, sebanyak 25,000 ikan dan 52,000 udang telah dilepaskan selain penanaman 24,200 pokok bakau serta pemasangan tukun dan unjam bagi memastikan kelestarian ekosistem marin. – UTUSAN







