Minyak brent dijangka berada pada AS$83 setong tahun ini

Minyak brent dijangka berada pada AS$83 setong tahun ini

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent dijangka berpurata sekitar AS$83 (RM390.94) setong tahun ini dan AS$80 (RM376.81) setong tahun hadapan, menurut unjuran UBS Investment Bank.

Penganalisis Penapisan dan Kimia China UBS Investment Bank, Amily Guo berkata, UBS menaikkan unjuran purata harga Brent bagi tahun ini pada awal April berbanding unjuran sebelumnya iaitu AS$82 (RM386.23) setong.

“Unjuran yang lebih baik itu bagi mencerminkan peningkatan mendadak harga minyak berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat pada April dan keadaan pasaran yang ketat,” katanya semasa Taklimat Media Persidangan Pelaburan Asia bank tersebut.

Katanya, permintaan terhadap minyak mentah dilihat masih baik menjangkakan pertumbuhan permintaan 1.1 juta tong sehari bagi tahun ini, manakala pengeluaran adalah 1.2 juta tong sehari.

Mengulas unjuran harga gas asli, UBS mengunjurkan harga gas asli akan bergerak dalam jajaran sempit sekitar AS$9 juta (RM42.4 juta) unit thermal Bristish (MMBtu) dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, ia menjangkakan harga gas asli akan pulih semula ke paras AS$10 (RM47.12) MMBtu pada suku keempat 2024 yang di dorong oleh peningkatan permintaan bermusim,” katanya.

Sementara itu, Pakar Strategi Logam Berharga UBS Investment Bank, Joni Teves berkata, harga emas dijangka akan terus meningkat dalam sukuan berikutnya dengan berpotensi mencecah AS$2,500 (RM11,777) seaun sebelum akhir tahun ini.

“Terdapat beberapa faktor positif yang menyokong harga logam berharga itu untuk terus mencecah paras tinggi baharu dalam sejarah menuju ke depan,” katanya ketika sesi itu.

Jelasnya, ia didorong oleh permintaan kukuh China dan permintaan tinggi untuk emas fizikal yang meletakkan asas yang kukuh bagi harga emas.

Tambahnya, belian emas juga kukuh beberapa tahun lalu serta ketegangan geopolitik, ketidaktentuan makroekonomi global dan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menyokong harga untuk terus meningkat.

Emas mencecah rekod baharu AS$2,450 (RM11,543) seaun pada Isnin lalu berikutan keyakinan semakin meningkat terhadap pengurangan kadar faedah AS dan ketegangan geopolitik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×