KUANTAN: Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di sini memperoleh pengiktirafan ranking nombor satu jualan tertinggi sehingga April lalu daripada kira-kira 100 cawangan premis terbabit di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan DAZ Group Resources, Danial Asyraf Zuhairi, 29, berkata, ia pencapaian yang cukup membanggakan sejak cawangan itu dibuka pada Ogos tahun lalu.
“Selepas hampir hampir setahun dibuka, Kopi Saigon Indera Mahkota 7 mendapat pengiktirafan daripada ibu pejabat (HQ) dengan ‘No. 1 jualan tertinggi’ daripada 100 cawangan di seluruh negara.
“Antara penyumbang kejayaan ini adalah lokasi kedai yang strategik, hiasan tenang dan selesa bagi menarik pelanggan, servis yang pantas dan paling utama kebersihan menjadi keutamaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-pelancaran Kopi Saigon Taman Tas yang merupakan cawangan kedua milik DAZ Resources di sini.
Danial Asyraf berkata, pengiktirafan itu tentunya memberikan semangat dan juga motivasi buat DAZ Group Resources untuk terus meningkatkan jualan di dua cawangan Kopi Saigon dimiliki syarikat berkenaan.
“Bermula hanya dengan minat terhadap rasa kopi Vietnam, kita mencari kedai kopi yang terkenal iaitu Kopi Saigon dan mula membuka cawangan di Indera Mahkota 7.
“Alhamdulillah, selepas dibuka, kita tidak menjangka strategi membuka cawangan Kopi Saigon yang berasal dari Vietnam ini mendapat sambutan cukup luar biasa daripada pelanggan,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada penggemar kopi kerana memberikan sokongan kepada Kopi Saigon Indera Mahkota 7 dan Taman Tas sejak awal pembukaan sehingga kini.
“Sebarang teguran dan pandangan dialu-alukan. Kami akan mengambil maklum bagi menambah baik perkhidmatan di dua cawangan Kopi Saigon kami. Kepuasan pelanggan keutamaan kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cawangan kedua Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Taman Tas di sini mula dibuka pada bulan April lalu.
Menurutnya, sambutan pelanggan begitu menggalakkan sehingga cawangan Kopi Saigon di Taman Tas menjadi top 10 seluruh negara walaupun baharu dua bulan dibuka.
“Sasaran seterusnya membuka dua lagi cawangan yang pada ketika ini dalam proses pengubahsuaian di Teluk Cempedak, Kuantan dan Temerloh. Dua cawangan ini dijangka akan mendapat sambutan hebat kerana ia terletak di lokasi yang strategik buat penggemar kopi,” katanya. – UTUSAN









