PETALING JAYA: Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), anak syarikat Petronas mengumumkan penamaan semula Kompleks Penapisan Melaka kepada Taman Tenaga Melaka bagi memperingati pencapaian Jubli Mutiara syarikat itu.
Pengendali tapak penapisan dengan salah satu kapasiti terbesar di Malaysia berkata, taman tenaga itu akan memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi keupayaannya untuk memenuhi keperluan tenaga yang lebih bersih, selamat dan cekap.
Katanya, ini sekali gus membuktikan kehadirannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga domestik dan global untuk memenuhi keperluan pelbagai industri termasuk penerbangan, pembuatan dan pasaran pengguna massa.
Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, selama tiga dekad, komitmen syarikat terhadap kecemerlangan telah mendorong untuk mencari cara melengkapkan diri dengan keupayaan dan fleksibiliti untuk menghasilkan pelbagai jenis produk petroleum.
Menurutnya, ini bagi memenuhi permintaan tenaga di luar pasaran domestik.
“Sebagai contoh, minyak asas kami digunakan dalam formulasi cecair untuk Juara Dunia lapan kali, Mercedes-AMG Petronas Formula One Team.
Ini merupakan usaha berterusan kami untuk kekal berdaya saing di pasaran, meraih setiap peluang yang kami lihat sesuai untuk mewujudkan nilai kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya yang juga merangkap Pengerusi MRCSB dalam kenyataan.
Taman Tenaga Melaka menyumbang secara signifikan untuk memenuhi 60 peratus permintaan produk petroleum Semenanjung Malaysia, dengan kadar pengeluaran harian sebanyak 300,000 tong.
Ia dilengkapi dengan beberapa unit pemprosesan khusus yang direka dengan fleksibiliti untuk mengendalikan pelbagai minyak mentah daripada minyak mentah manis kepada minyak mentah import yang lebih berat.-UTUSAN










