PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd. dijangka berupaya untuk mencatatkan jualan tinggi bagi hartanah, didorong oleh pelancaran yang pelbagai, terutama dalam produk perindustrian dan kediaman ,kata TA Securities Holdings Berhad (TA Securities).
TA Securities berkata, pihaknya yakin syarikat itu akan mengatasinya sasaran mereka disebabkan jualan yang dilihat kukuh pada suku pertama tahun ini.
“Ini kerana jualan pada suku tersebut menyumbang 32 peratus daripada sasaran tahunan.
“Selain itu, prospek jualan akan positif pada suku kedua kerana disokong oleh RM2.6 bilion dalam tempahan hartanah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Katanya, peningkatan jualan pada tahun ini didorong oleh rancangan pelancaran Sime Darby Property untuk suku kedua dan suku keempat yang bernilai RM2.9 bilion.
Sehubungan itu, TA Securities berkata, pihaknya tidak menaikkan sasaran jualan Sime Darby Property untuk 2024 dengan mengekalkan RM3.0 bilion
Sebelum ini, Sime Darby Property mencatatkan jualan pada tiga bulan pertama 2024 sebanyak RM956 juta iaitu peningkatan 39 peratus tahun ke tahun.
Sehubungan itu, TA Securities berkata, Sime Darby Property mencapai kadar penggunaan purata sebanyak 80 peratus untuk produk yang dilancarkan pada suku pertama.
“Ini termasuk dengan kediaman bertingkat mencecah 80 peratus dan hartanah perindustrian pada 73 peratus,” jelasnya.
Dalam pada itu, TA Securites positif tentang cadangan syarikat itu untuk membina dan memajak pusat data berskala besar di Elmina Business Park.
Katanya projek tersebut dapat menjanjikan pendapatan berulang 20 tahun dan meningkatkan reputasi Sime Darby Property sebagai pemaju hartanah perindustrian terkemuka di Malaysia.-UTUSAN









