Feytech mulakan dagangan di Pasaran Utama, premium 37.5 peratus - Utusan Malaysia

Feytech mulakan dagangan di Pasaran Utama, premium 37.5 peratus

CONNIE Go (empat dari kiri) dan Go Yoong Chang (empat dari kanan) semasa gimik Pelancaran Feytech Holdings di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Feytech Holdings Bhd. (Feytech Holdings) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dengan cemerlang apabila mencatatkan premium 37.5 peratus pada RM1.10, berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 80 sen sesaham.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Feytech Holdings, Connie Go berkata, syarikat berjaya memperoleh sejumlah RM114.66 juta melalui IPO membabitkan terbitan 143.32 juta saham biasa pada harga 80 sen sesaham.

Katanya, hasil daripada IPO itu akan diagihkan sebanyak RM11.6 juta (10.1 peratus) digunakan untuk perolehan tanah dan RM21.13 juta (18.4 peratus) disalurkan untuk pembinaan pejabat korporat baharu dengan loji pembuatan dan gudang.

“Selain itu, RM18.76 juta (16.4 peratus) pula bagi pembinaan Loji Kulim 2 baharu dan RM52.18 juta (45.5 peratus) untuk modal kerja,” katanya selepas Majlis Pelancaran Feytech Holdings di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, baki hasil sebanyak RM3.0 juta dan RM8.0 juta pula telah diperuntukkan untuk pembelian jentera baharu dan perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Feytech Holdings, Go Yoong Chang berkata, syarikat pada masa ini tidak mengalami sebarang kekurangan pekerja asing dan tidak merancang untuk menambah mereka.

“Syarikat ketika ini mempunyai lebih 60 peratus pekerja asing di kilang jahitannya di Tampoi, Johor.

“Bagaimanapun, kami akan memberi tumpuan kepada pengambilan pekerja tempatan untuk kilang 2 dan 3 yang akan datang di Kulim, Kedah,” katanya.

Mengulas mengenai prospek industri kerusi dan sarung automotif tahun ini, beliau percaya industri itu adalah menggalakkan berdasarkan pertumbuhan industri automotif dan jangkaan pertumbuhan jangka panjang.

“Prospek syarikat juga akan disokong oleh jualan pelanggan, kedudukan kompetitif dan strategi perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya