PETALING JAYA: Ahli Lembaga Pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan untuk mengkaji laporan usaha wajar berkaitan penubuhan rangkaian 5G kedua, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Gobind berkata, mesyuarat itu dijadualkan pada 7 Mei ini turut membincangkan syarat-syarat yang masih berbaki dalam perjanjian langganan saham dengan syarikat telekomunikasi.
Katanya, ia terpulang kepada DNB untuk mengkaji laporan yang dikemukakan selepas proses usaha wajar dan kemudian memutuskan hala tuju.
“Selepas melihat laporan kajian keselamatan pelaburan, saya percaya mereka memerlukan 20 hari selepas itu bagi membentangkan cadangan kepada saya mengenai langkah untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Ericsson dengan eMooVit Technology, Scania dan SKF Malaysia.
Mesyuarat itu berikutan pelantikan lima ahli baharu yang dipilih oleh pengendali rangkaian mudah alih ke lembaga syarikat milik negeri yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur rangkaian 5G dalam perjanjian jualan saham.
“Pengarah yang baru dilantik ini akan bermesyuarat pada Selasa depan bagi meneliti laporan usaha wajar dan mengemukakan cadangan bagaimana kita hendak bergerak ke depan dengan matlamat menubuhkan rangkaian kedua seperti yang kita telah nyatakan sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai MoU antara Ericsson dengan eMooVit Technology, Scania dan SKF Malaysia, katanya, sejak tahun 2021, pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia telah dipimpin oleh DNB bersama dengan Ericsson sebagai rakan teknologi utama.
“Pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia merupakan satu daripada yang terpantas di dunia dengan lebih daripada 80 peratus liputan dicapai dalam masa lebih dari dua tahun sejak pelancaran perkhidmatan 5G di negara ini.
“Sehingga akhir Mac 2024, liputan 5G kawasan berpenduduk (COPA) di Malaysia telah mencapai 80.5 peratus dan kini melayani lebih daripada 11.9 juta pelanggan 5G dari operator mudah alih utama secara kolektif hingga akhir Mac 2024,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, Borje Ekholm berkata, Malaysia disenaraikan antara lima teratas di dunia bagi rangkaian 5G dipacu oleh kejayaannya ketersediaan 5G, mampu milik, pengalaman pelanggan yang hebat dan keupayaan rangkaian.
Katanya, infrastruktur digital yang didayakan oleh rangkaian 5G di Malaysia menjadikan menjalankan perniagaan di negara ini lebih berdaya saing dan menarik bagi pelabur asing.-UTUSAN










