PETALING JAYA: Airbus sedia mengukuhkan lagi komitmen semasanya selain melanjutkan pelaburan sedia ada dalam ekosistem tempatan, termasuk melabur dalam simulator penerbangan penuh helikopter yang ketiga di Subang.
Simulator penerbangan tersebut dirancang untuk mula beroperasi pada 2026.
Presiden Airbus untuk Asia Pasifik, Anand Stanley berkata, Malaysia telah menjadi pangkalan pelanggan utama bagi syarikat merentasi rangkaian produk pesawat komersial, helikopter, pertahanan dan angkasa lepas.
“Sebagai rakan kongsi strategik Malaysia, Airbus telah membangunkan kerjasama industri secara meluas yang membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Airbus mempunyai hubungan yang panjang dan berkesan dengan pelbagai pihak berkepentingan Malaysia.
“Memandangkan sektor aeroangkasa rantau ini dijangka berkembang lebih jauh, kami berharap dapat meningkatkan kehadiran dan perkongsian tempatan kami,” katanya semasa taklimat media Airbus di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 di sini semalam.
Anand berkata, Airbus juga melihat potensi memenuhi permintaan yang semakin bertambah di rantau ini, selain memperbaharui pengangkutan tentera yang lama.
Ujarnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah antara pengendali global H225M dengan 12 armadanya yang menjalankan tugas ketenteraan dan kemanusiaan.
“Memandangkan Malaysia perlu menggantikan beberapa aset lamanya dalam jangka masa panjang, terutamanya dalam peranan separuh awam (parapublic) seperti penguatkuasaan undang-undang, model H135 merupakan penyelesaian tepat untuk memenuhi keperluan ini.
“Model ini semakin popular di mana lebih 1,500 unit berada dalam perkhidmatan. Dari jumlah ini, sekitar 200 unit kini digunakan oleh pelbagai agensi penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia, termasuk dari Australia dan Jepun,” katanya.
Dari segi angkasa, perkongsian yang lama terjalin antara Airbus dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah berkembang dengan kukuh sejak 1998, merangkumi bidang seperti imejan satelit, sistem dan perkhidmatan.
Malaysia juga mempunyai satelit MEASAT-3b dan MEASAT-3d dibina oleh Airbus, yang menyediakan kelajuan jalur lebar di kawasan yang tidak ada atau mempunyai ketersambungan darat yang terhad di seluruh negara.
Berkenaan keselamatan maritim, Airbus bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selama 15 tahun di mana penyelesaian pengawasan pantai STYRIS telah membantu mengawasi kawasan kritikal di sepanjang Selat Melaka, serta Sabah dan Sarawak. – UTUSAN








