1,300 ekar tanah di ibu negara akan dibangunkan semula - Utusan Malaysia

1,300 ekar tanah di ibu negara akan dibangunkan semula

NGA Kor Ming (tengah) ketika melancarkan laporan Rumah Mampu Milik II, Merapatkan Jurang: Pendekatan Strategik Mengimbangi Bekalan dan Permintaan oleh REHDA Institute, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 139 kawasan meliputi 1,300 ekar tanah di ibu negara yang berpotensi telah disenaraikan untuk pembangunan semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 91 daripadanya adalah tapak kediaman yang termasuk dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

“Justeru, kami amat menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama dengan KPKT untuk pembangunan semula bandar yang dirancang.

“Kementerian juga memandang serius dalam pembentangan akta baharu untuk penjanaan semula, pembaharuan, peremajaan serta pemuliharaan semula yang akan menjadi pengubah permainan melalui industri pembangunan perumahan.

“Ini sekali gus akan meningkatkan nilai ekonomi yang membawa kepada penciptaan lebih banyak pekerjaan dan peluang pelaburan sebaik sahaja akta baharu diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Perumahan Serantau 2024 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, semalam.

Beliau turut melancarkan laporan Rumah Mampu Milik II, Merapatkan Jurang: Pendekatan Strategik Mengimbangi Bekalan dan Permintaan oleh REHDA Institute.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, sektor hartanah dijangka merangsang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024, didorong pertumbuhan pasaran saham sektor tersebut yang antaranya meningkat sehingga 600 peratus dalam tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, ini menunjukkan pasaran hartanah negara berada pada landasan yang stabil untuk pulih dan boleh menarik lebih ramai pemain antarabangsa dan domestik.

“Pada tahun lalu, kami menyaksikan sejumlah 399,000 transaksi hartanah bernilai sekitar RM200 bilion, pertumbuhan 2.5 peratus mengikut angka dan 9.9 peratus dari segi nilai.

“Sejak Kerajaan Madani mengambil alih, hartanah tidak terjual telah menurun daripada 37,066 unit kepada kurang 24,000 unit, peningkatan yang besar dan ketara melebihi 40 peratus,” katanya.

Tambahnya, Malaysia kini menjadi magnet kepada ekspatriat, apabila bilangan permit kerja yang dikeluarkan oleh imigresen kepada ekspatriat berkemahiran tinggi meningkat kepada 154,115 pada 2023, berbanding 110,819 pada 2022.

“Peningkatan lebih 50 peratus itu merupakan petunjuk kukuh bahawa kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ini adalah tanda pemulihan yang kuat. Kami telah mewujudkan pertumbuhan dalam pasaran hartanah Malaysia. Itulah mesej yang saya ingin hantar ke pasaran untuk terus melancarkan pembangunan baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya