Volkswagen Touareg R-Line - Revolusi SUV terkini

Volkswagen Touareg R-Line – Revolusi SUV terkini

VOLKSWAGEN Touareg R-Line
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) terus menerus memasuki pasaran tempatan dan walaupun terdapat puluhan model sama ada dari Eropah, Jepun atau pun daripada China, para pengedar dan pembekal kenderaan seumpama ini tidak teragak-agak untuk memperkenalkan model-model terkini mereka.

Kenderaan unik ini yang sememangnya mempamerkan rekaan rupa bentuk yang tegap, teguh, yang tidak pernah ‘menolak’ untuk menelusuri permukaan laluan lasak seperti mana-mana kenderaan 4X4, atau pemanduan elegan atau mewah ditengah-tengah kota metropo­litan.

Volkswagen sebenarnya mempunyai lebih daripada satu model atau varian kenderaan pelbagai guna ini. Umum mengetahui tentang kewujudan model Tiguan dan juga model yang kita ingin ketengahkan pada artikel kali ini, iaitu Touareg. 

Secara kasarnya, Touareg adalah variasi SUV Volkswagen yang lebih mahal harganya dan lebih besar dari segi saiz dan teknologi yang dibekalkan padanya. Dari segi prestasi enjin, ia lebih berkuasa dan atas faktor ini, ia mungkin menjadi pilihan anda untuk memilihnya daripada varian Volkswagen yang satu lagi.

REKAAN RUPA BENTUK FIZIKAL

Model Touareg terkini yang diperkenalkan awal 2024 ini dan dipasarkan pada harga bermula RM472,272 tanpa kos insurans dan pendaftaran. Model ini dipasang di Pekan, Pahang yang merupakan julung kalinya di luar Eropah. Versi ketiga ini yang dipasarkan dalam kategori R-Line, iaitu dalam lingkungan model-model eksklusif Volkswagen.

Dari sudut pandangan luaran, Touareg ini mempunyai saiz fizikal yang agak besar, hampir sama dengan SUV BMW iX, serta ruang kabin dalam yang begitu selesa, mempunyai ciri-ciri kemewahan dan ruang penyimpan barangannya yang sangat luas. Malah, sekiranya diteliti spesifikasinya, ia lebih panjang, lebih lebar dan sedikit lebih rendah berbanding dengan model terdahulunya. Walaupun begitu, ia 106 kilogram (kg) lebih ringan daripada model sebelumnya dan faktor ini diperolehi hasil daripada gabungan bahan binaan casisnya yang menggunakan 52 peratus keluli berteknologi tinggi dan 48 peratus aluminium.

Dari pandangan hadapan, grill atau jeriji hadapannya menampakkan keteguhan pembinaannya, dilengkapkan dengan lampu LED yang bukan setakat menyuluh jalan raya di hadapan pemandunya, malah, mengintegrasikan rekaan dengan barisan lampu DRL yang unik serta mengadaptasikan rekaannya ke bahagian belakang model ini. Turut menjadi perhatian ramai apabila model ini memperagakan logo VW dalam hiasan lampu merah, rekaan seperti ini dahulunya dikhaskan hanya untuk model-model VW pasaran China dan Amerika.

Memperagakan roda bersaiz 20 inci dan rekaan “jeriji V” bagi menampakkan ciri-ciri mewah dan eksklusifnya. Malah, Touareg ini juga dibekalkan dengan roda tambahan (spare rim) yang sama saiz dan rekaanya. Bukan sekadar rim besi biasa dan lebih kecil seperti amalan kebanyakan kereta-kereta lain.

Kabin dalamannya, me­nyambut ketibaan anda dengan lingkaran papan pemuka yang menakjubkan, yang menyeliputi sehingga ke bahagian tengah. Touareg ini dilengkapi dengan skrin meternya bersaiz 12.3 inci dan skrin sesentuh infotainmen bersaiz 15 inci, yang turut membolehkan pelarasan sistem penghawa dingin pada skrin ini serta kebolehan padanan sistem Android Auto dan Apple Car Play yang sudah semestinya menjadi ‘keperluan’ pemandu generasi kini.

Sebagai tambahan, kebolehan mengecas alat peranti anda tanpa wayar juga tersedia dalam sebuah ‘bekas’ yang boleh ditutup dan agak dalam. Kebolehan teknologi seperti ini seperti sudah menjadi satu kemestian dan Touareg ini melimpahkan ciri-ciri eksklusif untuk keselesaan pemandu dan penumpangnya.

Tombol penghidup enjinnya yang terletak pada ruang konsol di bahagian tengah (tanpa kunci atau keyless system) dan apabila anda menghidupkan enjinya, ruang kabinnya dikelilingi oleh lampu hiasan yang bukan sahaja unik tetapi seolah-olah mendamaikan. Kerusi bersalut kulit mewah serta tidak kurang daripada lima ruang pengecas USB khas untuk kegunaan kesemua yang berada dalam kenderaan ini. Ruang penyimpan barangannya pula berkapasiti 810 liter dan sekiranya diturunkan kerusi bahagian belakang, ruangan tersebut menjadi 1,800 liter!

PEMANDUAN

Dibawah bonet hadapan SUV ini, terletaknya punca keupayaan Touareg ini yang berkapasiti 3.0 liter turbo V6, menghasilkan 340 PS dan tork sebanyak 450Nm. Kesemua kuasa penghantaran ini disalurkan kepada kesemua empat rodanya yang mampu mencapai 0-100km/j dalam hanya enam saat. Ia juga dikatakan mampu mencapai kelajuan 250km/j namun objektif kenderaan ini bukanlah untuk mencapai kelajuan cahaya, tetapi kebolehan jenteranya mampu mencapai keupayaan tersebut ‘sekiranya diperlukan’.

Sistem suspensinya adalah yang menjadi tarikan pada saya. Pemanduan dengan sengaja melalui jalan-jalanraya berbonggol dan tidak rata tidak langsung mengganggu atau menghasilkan ‘bunyi-bunyian’ pelik dalam kabin kereta. Kebolehan ini mampu dicapai dengan penggunaan suspensi udara pada keempat-empat rodanya. Ianya dikatakan boleh dilaras dengan pemadanan terhadap permukaan muka bumi yang dilaluinya. Malah, ketinggian kelegaan muka bumi dan bahagian lantai kenderaan boleh direndahkan 40 milimeter (mm) lagi untuk memudahkan pengangkutan barangan atau kargo ke ruang penyimpanan barangan di belakang.

Pemilihan mode pemanduan adalah dalam kuasa jemari anda dengan hanya memutar tombol yang terletak di konsol tengahnya. Samada anda ingin memilih mod pemanduan Eco untuk penjimatan bahan api, “Comfort” untuk lebih keselesaan, Normal untuk pemanduan yang lebih stabil pengagihan kuasa tujahannya atau mod Sport untuk lebih pengemudian lebih dinamik dan tidak melupakan mod ‘custom’ untuk mereka yang menginginkan suasana pemanduan menepati citarasa dan gaya tersendiri, serta mod “off road” untuk pemandu-pemandu yang tidak merasa ‘sayang’ meredah permukaan tidak rata, berbatu atau tanpa tar.

KESIMPULAN

Mewah, eksklusif dan ber­prestasi. Ini merupakan revolusi yang ingin diperkenalkan oleh Touareg 2024 ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa model ini sama tarafnya dengan BMW iX ataupun Porsche Cayenne.

Kombinasi ini ternyata meletakkan VW sebagai salah satu kenderaan Eropah yang meletakkan ia pada satu takhta yang ternyata berlainan daripada kenderaan-kenderaan SUV lain. Rekaan rupa bentuknya yang bukan sahaja mempamerkan ciri-ciri ‘continental’ tetapi ia turut memberi justifikasi terhadap setiap lekuk, setiap lampu dan setiap sudut yang terdapat pada SUV mewah dan unik ini.

Inilah salah satu punca kenapa saya begitu seronok memilih kerjaya ini sebagai pilihan hidup.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN