Tiada halangan MMC jual pegangan saham dalam MMC Ports - Utusan Malaysia

Tiada halangan MMC jual pegangan saham dalam MMC Ports

ANTHONY Loke (tengah) di Majlis pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) Evlution bersama Mastercard dan RHB Bank, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya MMC Corp Bhd. merancang untuk menjual 49 peratus kepentingan di dalam MMC Ports Holdings Bhd., namun perkara berkaitan konsesi dan status pemilikan aset utama negara perlu diteliti.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak dimaklumkan lagi berkenaan hal itu (rancangan MMC untuk menjual pegangan saham tersebut) tetapi sekiranya ia melibatkan konsesi, sebarang perubahan pemilikan perlu dimaklumkan kepada MOT,” katanya kepada pemberita di Majlis pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) Evlution bersama Mastercard dan RHB Bank di sini.

Majlis perasmian tersebut menandakan permulaan inisiatif EVlution untuk menyediakan 2,000 unit stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, memudahkan akses pengguna kenderaan elektrik untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi-lokasi strategik seluruh negara.

Tegas beliau, keputusan menjual pegangan saham adalah usaha korporat dan terpulang kepada syarikat tersebut, malah penglibatan syarikat asing dalam sektor pelabuhan bukanlah sesuatu yang baru, sebagai contoh, 30 peratus pemilikan PTP dimiliki Maersk-Line.

“Pelaksanaan korporat terpulang kepada syarikat selagi ia mematuhi dasar kerajaan yang memerlukan 51 peratus aset utama negara dipegang oleh syarikat tempatan,” ujarnya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa syarikat pelaburan yang berpengkalan di New York Amerika Syarikat, Global Infrastructure Partners (GIP) telah menangguhkan rancangan untuk membeli sehingga 49 peratus kepentingan dalam MMC Ports.

MMC Port merupakan unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp. yang dikawal oleh tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Turut dilaporkan, Syed Mokhtar memohon penilaian RM15 bilion (AS$3.2 bilion) hingga RM20 bilion (AS$4.27 bilion) untuk syarikat itu, yang akan menjadikannya perjanjian pelabuhan terbesar Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EVlution, Dr. Jeffrey Ong berkata, syarikat itu telah menetapkan sasaran tinggi untuk memasang 100 stesen pengecas EV pertengahan pertama tahun 2024 di kawasan-kawasan metropolitan sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“Komitmen kami meluas bukan sahaja kepada penyediaan infrastruktur pengecas EV; kami berazam untuk menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan bersih.

“Malah, kami (Evlution) sedang dalam proses penawaran bagi program Solar Skala Besar (LSS) rundingan kelima tahun ini, yang lebih memperkukuh komitmen kami terhadap penyelesaian tenaga lestari untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Setakat hari ini, EVlution merupakan satu-satunya Pengendali Titik Pengecas (CPO) di Malaysia yang menyediakan sistem pembayaran tergabung membolehkan pengguna membayar pengecasan EV melalui aplikasi mudah alih EVlution atau dengan menggunakan kad fizikal.

“Melalui kerjasama strategik dengan RHB dan Mastercard, EVlution memperkenalkan platform pembayaran terkini yang memudahkan transaksi tanpa kesan dan memajukan penyelesaian mobiliti lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN