GEORGE TOWN : Cadangan untuk menurunkan cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel masih belum dapat dilaksanakan buat masa ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebarang ketetapan mengenai perkara itu kini tertakluk kepada keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Ya, perkara itu masih lagi dalam perbincangan. Kita kena tunggu mesyuarat MTEN dan sebagainya. Mesyuarat itu (MTEN) dibuat setiap hari Selasa.
“Jadi, kita tak bolehlah nak (umum) dahulu. Kena tunggu keputusan daripada MTEN juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di Bukit Jambul di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia menurunkan cukai jalan kenderaan diesel bagi mengurangkan beban rakyat.
Anwar turut meminta MOT agar mencari mekanisme yang sesuai bagi melaksanakan pengurangan tersebut dengan mengambil kira kesan kenaikan harga bahan api itu terhadap pengguna khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
Terdahulu iaitu ketika merasmikan IRTF 2026, Hasbi mengalu-alukan langkah penganjuran forum tersebut yang disifatkannya sebagai menepati agenda MOT ketika ini.
Katanya, MOT kekal komited untuk memperkasakan industri rel di Malaysia melalui inisiatif ‘localisation’ atau penyetempatan, pemindahan teknologi, kerjasama penyelidikan serta pembangunan modal insan.-UTUSAN










