Suzuki Gixxer 250 - Kuda besi harian anda - Utusan Malaysia

Suzuki Gixxer 250 – Kuda besi harian anda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN motosikal tempatan masa kini seolah-olah sudah kurang didominasi oleh motosikal-motosikal dari negara matahari terbit. Malah, jika ada jenama-jenama Jepun ini dilancarkan atau dipasarkan sejak akhir-akhir ini, kebanyakannya mempunyai ciri-ciri yang boleh diketahui sama ada dari China atau India.

Suzuki juga tidak terkecuali. Masih berkeras untuk memasarkan model-model motosikal daripada kumpulan permintaan terbesar dalam negara, iaitu jentera-jentera berkapasiti 250cc ke bawah. Namun sama ada untuk mengurangkan kos pembuatan serta tanda harga, Suzuki Jepun telah berkerjasama dengan pembuat motosikal dari India untuk menghasilkan model-model yang lebih ‘mesra’ pasaran ASEAN.

Maka, terhasilnya model-model yang dapat memenuhi permintaan pasaran, sekali gus menjadi sesuatu yang normal untuk rantau ini buat masa ini.

Untuk kebanyakan peminat motor sport tegar, kekurangan keupayaan untuk memiliki jentera ‘superbike’ 1000cc dapat digantikan dengan kebolehan memiliki jentera sport ‘cilik,’ seperti Yamaha R15M, KTM RC200 atau Suzuki GSX-R150.

Di celah-celah keberadaan jentera-jentera sport ‘cilik’ ini, terdapat satu golongan lagi yang menginginkan sebuah motosikal yang cukup berkuasa untuk digunakan setiap hari sebagai tunggangan pergi-balik kerja, jarak sederhana jauh, kemudahan pengemudian dalam bandar dan yang paling penting, harga jualan dan kos penyelenggaraan yang tidak melampau.

Atas dasar ini, diwujudkan model yang boleh dipasarkan pada harga RM14,500 untuk model tanpa fairing dan RM15,200 untuk model berfairing penuh tanpa kos insurans, pendaftaran dan cukai jalan.

REKA BENTUK FIZIKAL
Sebuah motosikal yang selalunya dikategorikan sebagai ‘street’ tanpa ‘fairing’ yang menutupi bahagian tepi kiri dan kanan enjin serta ‘cowling’ atau pelindung aruhan angin dari hadapan. Sifat ini, menjadi sifat utamanya sekali gus mengurangkan kos pembuatan, serta kos membaik pulih sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Sejujurnya, rekaan ini adalah sebuah rekaan yang sudah terlalu lama untuk motosikal-motosikal dari Jepun, malah rekaannya turut dikongsi oleh kebanyakan jenama lain yang memproduksikan model ‘naked’ ini.

Tidak keterlaluan juga saya katakan, reka bentuknya mempunyai persamaan seperti model Suzuki FXR 150 yang pernah wujud dalam pasaran dari 1998 hingga 2002. FXR yang terkenal kerana didatangkan dengan meter digital sepenuhnya dan ia adalah satu-satunya motosikal bawah 200cc yang mempunyai karektor tersebut.

Lampu hadapan dan belakang Gixxer 250 ini adalah dari jenis LED, penyerap hentakan hadapannya tidak pula menggunakan jenis terbalik, tetapi hanya jenis teleskopik biasa. Begitu juga sistem penyejukannya dapat dilihat menggunakan sejukan minyak, sama seperti FXR 150 dulu.

Namun, meter digital yang ada pada Gixxer 250 ini hanyalah jenis paparan LCD negatif, iaitu mempunyai latar belakang hitam, tetapi huruf dan nombor yang dipaparkan pula berwarna putih dan perak.

Pelana Gixxer 250 ini menampakkan sifat lebih agresif dan sporty apabila mempunyai dua pelana terpisah dan bukan jenis tunggal. Ini menyerlahkan sedikit imej sport dalam penampilannya.

Akan tetapi, saya amat tidak menyukai bahagian peredam bunyi atau muffler ekzos yang bukan sahaja agak besar dan juga saya yakin ia menambah berat yang banyak kepada jentera ini. Corong berkembar ini agak tidak bersesuaian kerana ia menyalurkan hasil pembakaran daripada jentera silinder tunggal sahaja. Mungkin untuk menepati tahap optimum bagi pencemaran alam sekitar atau pencemaran bunyi, maka peredam bunyi jenis ini digunakan.

PENUNGGANGAN
Selalunya, motosikal berkapasiti 250cc empat lejang dihasilkan dengan penggunaan blok dua silinder. Ini bagi membolehkan motosikal model-model ini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kelajuan yang tinggi, terutamanya atas lebuh raya.

Namun ada ketikanya, terdapat model-model silinder tunggal yang ‘terselit’ dalam pasaran ini. Selain dipasarkan pada harga yang sedikit rendah daripada model-model 250cc dua silinder, model silinder tunggal ini dilihat sebagai alternatif terutamanya pada kos penyelenggaraan model silinder tunggal jauh lebih murah dan mudah.

Akibat secara langsung atas penghasilan model silinder tunggal ini ialah kelajuan maksimumnya jauh lebih rendah. Inilah faktor yang paling awal dapat dikesan pada Gixxer 250 ini. Penalaan enjinnya yang daripada penggunaan unit kawalan eketrik (ECU), unit pendikit jenis suntikan bahan api ternyata membuatkan penghasilan kuasa tujahannya agak sederhana.

Prestasi ini turut dibelenggu dengan penggunaan tabung ekzos yang besar dan mempunyai corong berkembar. Saya tetap memandu uji kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh jentera ini dan akhirnya saya dapati mampu mencapai 150km/j pada kadar RPM9,500. Enjin akan meraung dan tersekat pada kadar RPM10,000.

Walaupun mempunyai kekangan untuk mendapat kelajuan yang lebih tinggi, Gixxer 250 ini mempunyai sistem penyerap hentakan yang efisien ketika melalui jalan berbonggol terutamanya pada laluan sikal di Lebuh raya Persekutuan. Tiada sebarang gangguan atau kesakitan pada lengan, bahu dan tapak kaki akibat terpaksa melalui permukaan jalan sedemikian.

Penggunaan tayar MRF dari India, dirasakan sedikit keras dan agak kurang berprestasi (cengkaman) terutama pada permukaan jalan basah. Saiz roda dan tayarnya pula merupakan saiz yang lazim digunakan iaitu bersaiz 17 inci dan menggunakan tayar 110 di hadapan dan 150 di belakang.

Daripada sesi pandu uji yang dilakukan, saya agak kecewa dengan kapasiti tangki bahan api iaitu hanya 12 liter iaitu lebih rendah berbanding jentera Suzuki lama iaitu 15 liter.

KESIMPULAN
Kos menjadi keutamaan. Kos pembuatan, kos alat ganti dan kos penyelenggaraan, ternyata menjadi faktor utama jentera Gixxer 250 ini. Penggunaan semula rekaan kosmetik, bahagian-bahagian jentera dan casis, serta teknologi elektronik ternyata dapat menghasilkan jentera 250cc di bawah harga pasaran biasa iaitu sekitar RM20,000 ke RM23,000.

Maka, untuk anda yang memilih untuk mengurangkan kos sara hidup, haruslah tolak tepi tentang prestasi dan keinginan. Gixxer 250 ini lebih sesuai untuk dijadikan ‘kuda tunggangan’ yang membawa anda dari tempat mula ke destinasi anda. Lebih memberikan penjimatan dan masih lagi berupaya untuk bergaya secara kotemporari walaupun sedikit ketinggalan zaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN