SEBAGAI pembeli, kita sering mencari pengalaman pembelian yang menyeluruh dan menyenangkan, termasuk ketika dalam perancangan untuk membeli rumah.
Justeru, pelbagai strategi pemasaran digunakan oleh pemaju hartanah untuk menarik minat pembeli seperti menawarkan pakej rumah separa lengkap dengan perabot yang memudahkan urusan memasuki rumah baharu nanti.
Dengan pemilihan perabot yang berkualiti dan bergaya yang disertakan secara percuma atau dengan diskaun yang ketara, menjadikan ia satu daya tarikan yang sukar untuk ditolak oleh ramai pembeli.
Fenomena itu menjadi semakin ketara apabila banyak pengiklanan dan promosi mengenai pakej serupa yang ditawarkan oleh kebanyakan pemaju hartanah.
Pakej rumah separa lengkap menjanjikan kemudahan memperoleh perabot rumah dengan kos yang lebih rendah, sering kali meliputi perabot dapur, bilik tidur dan ruang tamu.
Eksekutif perkhidmatan pelanggan, Nor Farhana Othman, 29, berkata, dia memang mencari rumah dengan pakej separa lengkap kerana ia membantu dalam mengurangkan kos tambahan selepas pembelian.
“Ketika menunggu rumah yang dibeli siap, mungkin saya tidak sempat mengumpulkan wang untuk digunakan bagi membeli perabot. Jadi, dengan pakej seperti ini, sedikit-sebanyak mengurangkan beban kerana sudah pasti berpindah ke rumah baharu menelan perbelanjaan yang tinggi.
“Ini kerana kita perlu sediakan kelengkapan rumah serentak dalam satu masa contohnya kabinet dapur, almari baju, katil dan juga peralatan elektrik asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pekerja swasta, Muhamad Faiz Roslan, 25, berpendapat, pakej seperti itu merupakan satu peluang yang baik, terutama kepada kepada golongan muda yang sedang mencari rumah pertama.
Beliau berkata, bebanan golongan muda untuk mendapatkan rumah siap huni tanpa perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk perabot akan berkurangan.
“Keunikan pakej itu bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pembeli, tetapi juga memberi kelegaan dalam aspek kewangan.
“Saya yakin ramai golongan muda dapat menarik nafas lega dengan pakej seperti ini apabila membeli rumah untuk keselesaan walaupun baru berkahwin tanpa perlu menambah hutang banyak.
“Ini memandangkan, golongan muda kini terikat dengan pelbagai komitmen seperti hutang kereta, insurans dan bayaran semula pinjaman pendidikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Alia Mior Azhar, 30, pula berpandangan, ramai memberikan keutamaan dalam memastikan rumah yang dibeli memberikan sesuatu sepadan dengan wang dilaburkan.
“Saya merasakan bahawa saya mendapat lebih banyak daripada apa yang saya bayar dengan pakej perabot separa percuma,” katanya.
Bagi konsultan jualan, Muaz Azhar, 26, pakej yang ditawarkan oleh pemaju itu menunjukkan komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pembeli.
Ujarnya, ia bermakna pemaju tidak hanya memberikan rumah yang berkualiti tetapi juga berusaha memenuhi harapan pelanggan dengan menyediakan lebih daripada jangkaan.
“Ini menunjukkan bahawa pemaju mengambil berat terhadap keperluan dan kehendak pelanggan serta berusaha menyediakan pengalaman pembelian rumah yang positif.
“Ia turut memberikan saya keyakinan yang saya akan mendapat perabot berkualiti tanpa perlu membayar wang tambahan lagi,” katanya.-UTUSAN










