PRO-NET peroleh pembiayaan mobiliti hijau RM200 juta

PRO-NET peroleh pembiayaan mobiliti hijau RM200 juta

ROSLAN Abdullah (empat dari kanan) pada majlis pengumumkan kerjasama pembiayaan tersebut di sini, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad untuk pembiayaan inisiatif mobiliti hijau dan import serta pengedaran kenderaan elektrik (EV) premium smart #1 di Malaysia.

PRO-NET adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. 

smart #1 adalah model pertama yang dijual oleh PRO-NET dan dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz. 

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah berkata, pengiktirafan dari CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktif mereka dalam menyokong inisiatif pengembangannya menunjukkan jenis perkongsian yang amat dihargai di PRO-NET.

“Kami berterima kasih kepada CIMB atas peluang yang diberikan kepada PRO-NET dan Proton  untuk mengembangkan penawaran kami dan menyediakan pelbagai pilihan model EV bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. 

“Ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan kami, tetapi juga mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memudahkan peralihan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Roslan menjelaskan, pihaknya akan menggunakan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV dan mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar. 

“Langkah ini akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif neutral karbon Malaysia,” katanya. 

PRO-NET menyediakan perkhidmatan selepas jualan serta aplikasi digital mesra pengguna yang dikenali Hello Smart meliputi 13 lokasi pengedar cawangan smart. 

Hello smart menyediakan akses kepada lebih 70 peratus rangkaian pengecasan awam, PRO-NET menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik holistik bersama-sama dengan jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pihaknya menyokong PRO-NET dalam memajukan inisiatif mobiliti hijau. 

Katanya, urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)  mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×