Pelaburan berterusan CGS kukuh perdagangan Malaysia-China - Utusan Malaysia

Pelaburan berterusan CGS kukuh perdagangan Malaysia-China

LIM Hui Ying (tengah) ketika pelancaran rasmi jenama dan logo baharu CGS International Securities Malaysia di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Operasi dan pelaburan berterusan CGS International Securities Pte Ltd. di Malaysia menandakan hubungan perdagangan Malaysia-China yang semakin mengukuh dan mendalam.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tempoh 50 tahun pertama telah menjadi saksi kepada banyak kejayaan kedua-dua negara.

Sehubungan itu, trajektori masa depan hubungan Kuala Lumpur-Beijing bergantung pada pembabitan berterusan dan usaha untuk menggalakkan pembangunan mampan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara.

“Kami mengharapkan inovasi lebih besar dan akses serantau yang maju memandangkan CGS berfungsi sebagai perhubungan dan pintu masuk untuk bukan saja pelabur China dan antarabangsa yang ingin melabur atau beroperasi di Malaysia tetapi juga untuk pelabur dan syarikat tempatan yang meninjau peluang besar di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran penjenamaan semula CGS International Securities Malaysia (CGS MY) di sini, semalam.

Penjenamaan semula CGS MY yang menampilkan nama korporat dan logo baharu itu susulan pengambilalihan 100 peratus kepentingan CGS-CIMB Securities (Malaysia) oleh China Galaxy Securities (CGS) pada 29 Disember 2023.

Pada 2023, jumlah volum perdagangan antara Malaysia dan China mencecah RM450.84 bilion, mengukuhkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar negara untuk tahun ke-15 berturut-turut.

Selain itu, sehingga Februari tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$15.52 bilion (RM73.9 bilion).

Jelas Hui Ying, Malaysia terus melakar ke arah matlamat status negara berpendapatan tinggi pada masa hadapan.

“Saya berharap operasi dan pelaburan berterusan CGS International Malaysia menandakan hubungan perdagangan yang semakin baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd Yatim, berkata syarikat itu bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dengan memanfaatkan keupayaan meluas kumpulan.

“Dengan adanya dua lesen baharu iaitu pengurusan aset dan kewangan korporat membolehkan CGS MY meningkatkan pendapatan menuju ke depan,” katanya.

Tambahnya, CGS MY juga bercadang untuk mengembangkan perniagaan ekuiti swasta (PE) dan modal teroka (VC) berpotensi berkembang kukuh menuju ke depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN