Pelabur asing jual bersih saham minggu ketujuh berturut-turut - Utusan Malaysia

Pelabur asing jual bersih saham minggu ketujuh berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan sebanyak RM373.5 juta aliran keluar bersih dana dicatatkan pada minggu lalu, menurut MIDF Research.

Firma Penyelidikan itu berkata, jumlah jualan itu lebih tinggi kira-kira 11 peratus daripada jumlah jualan bersih pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, sesi dagangan  pada minggu lepas dipendekkan kepada tiga hari berikutan cuti Hari Raya Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembelian bersih daripada pelabur asing pada minggu lalu bagi hartanah ialah sebanyak RM75.3 juta, pengangkutan dan logistik (RM26.8 juta) dan pembinaan (RM16.5 juta).

“Sementara itu, jualan bersih bagi sektor perkhidmatan kewangan ialah RM285.9 juta, utiliti (RM85.4 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM52.7 juta),” katanya dalam nota penyelidikan.

Sehubungan itu, katanya, insititusi tempatan meneruskan trend pembelian ekuiti domestik untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan pembelian berjumlah RM430.7 juta.

Ujarnya, peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM57.1 juta.

“Peruncit tempatan menamatkan jualan bersih berturut-turut selama 22 hari dengan membuat pembelian RM9.5 juta pada Selasa.

“Namun begitu, peruncit tempatan terus terlibat dalam jualan bersih sepanjang baki hari dagangan pada minggu lepas,” katanya.

Dalam pada itu, dari segi penyertaan pula, MIDF Research berkata, purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 3.1 peratus.

Sementara itu, bagi institusi tempatan turut menyaksikan penurunan sebanyak 15.2 peratus, tetapi mengalami peningkatan 3.1 peratus dalam kalangan pelabur asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN