Pakej separa lengkap bantu jualan hartanah

Pakej separa lengkap bantu jualan hartanah

KEDIAMAN separa lengkap menarik minat pembeli.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia pembangunan hartanah yang sentiasa berubah, pemaju perumahan kini semakin memahami kepentingan untuk berinovasi dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan. 

Di antara strategi pemaju yang semakin popular dalam mencapai matlamat itu adalah melalui pakej rumah separa lengkap yang dilihat menjadi tarikan utama dalam proses pemilihan rumah oleh bakal pembeli.

Ini kerana, pemaju bukan sahaja menawarkan rumah, malah memberi pengalaman pembelian unik dan memuaskan apabila turut dilengkapi perabot seperti kabinet dapur kabinet televisyen dan almari pakaian.

Selain itu, ada juga pemaju yang turut melengkapkan projek hartanahnya dengan kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, pemanas air dan pendingin hawa.

Nilai tambah tersebut bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan pemaju dalam memahami kehendak pelanggan, tetapi juga memberi penekanan kepada elemen gaya hidup terkini. 

Penolong Pengurus Besar Seri Pajam Development, Sidney Cheo berkata, bagi menarik minat pembeli, pihaknya menawarkan pembelian rumah yang dilengkapi perabot IKEA yang merupakan syarikat perabot dan kelengkapan rumah terkemuka dari Sweden.

Ujarnya, Seri Pajam Development menyediakan pakej rumah dilengkapi perabot itu di beberapa ruang utama kediaman termasuk ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur utama.

“Pakej ini seperti satu nilai tambah bagi pembeli dan kami dapat lihat jualan lebih baik menerusi kerjasama dengan IKEA.

“Tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan untuk perabot, para pembeli dapat memiliki kediaman di  lokasi strategik, persekitaran yang baik dan harga projek yang kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, Seri Pajam turut merancang strategi seperti itu dalam projek perumahan di Nada Bidara dengan mempertimbangkan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh rata-rata pembeli rumah.

Katanya, Seri Pajam Development bertujuan memberikan penyelesaian yang membantu mengurangkan beban kewangan dan masa kepada pembeli rumah dalam menyediakan pakej yang menyeluruh dan menarik seperti rumah separa lengkap dengan perabot IKEA.

“Pembeli akan melihat inisiatif ini sebagai penyelesaian yang membantu mengurangkan beban kos dan masa mereka semasa memasuki rumah baharu nanti,” katanya.

Beliau berkata, strategi seperti itu mendapat sambutan baik daripada pembeli projek perumahan di kawasan tersebut. 

“Tanggapan masyarakat terhadap pakej tersebut kelihatan positif kerana mereka melihatnya sebagai nilai tambah yang signifikan kepada projek perumahan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan IM Global Pro­perty Consultants Sdn. Bhd.,  PMgr Sr Ishak Ismail berkata, pembelian rumah separa lengkap ini didorong oleh emosi pembeli dan pemaju perlu bijak menganalisis kehendak pembeli seterusnya memenuhi cita rasa mereka.

Ujarnya, kos perabot dimasukkan di dalam harga belian dan nilai pinjaman perumahan secara tidak langsung membantu pembeli dari segi pengurangan kos ketika memasuki rumah kelak.

“Selalunya pembeli yang tidak mempunyai simpanan mencukupi akan berdepan masalah ketika rumah siap nanti kerana perlu menghabiskan sejumlah wang ba­gi membeli kelengkapan rumah. Jadi, dengan pakej separa lengkap ini sedikit sebanyak membantu mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, tegasnya, ia turut memberikan kesan buruk kerana harga yang dimasukkan ke dalam harga rumah akan mengembangkan (inflate) nilai pasaran.

“Kos pinjaman yang terpaksa dibayar sangat tinggi jika harga perabot dimasukkan ke dalam nilai pinjaman.

“Jika pinjaman tidak dapat dibayar, harga lelongan tentu tidak dapat menampung harga belian asal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya