SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) melancarkan kediaman jenis vila dengan nilai pembangunan kasar RM135.9 juta menerusi projek terbaharunya, Resort Villa fasa kedua.
Projek kediaman dua tingkat serba mewah dan moden di Bandar Sri Sendayan itu terdiri daripada 34 unit vila dan dibangunkan di atas tanah seluas 6.5 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, pembangunan unit kediaman mewah fasa kedua itu berikutan kejayaan fasa pertama yang telah terjual sepenuhnya dalam masa tiga bulan selepas pelancarannya pada bulan April tahun lepas.
“Untuk projek fasa dua ini ia menawarkan tiga jenis reka bentuk vila resort dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2026,” katanya pada Majlis Pelancaran Eksklusif Resort Villa dan Majlis Penghargaan Media di Bandar Sri Sendayan di sini, semalam.
Menurutnya, bermula dengan harga RM4 juta, Resort Villa menawarkan keluasan binaan antara 6,839 kaki persegi hingga 7,749 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga jenis susun atur yang tersedia untuk disesuaikan dengan pilihan yang pelbagai.
Keng Wai menekankan lagi, kediaman jenis vila resort ini menawarkan kehidupan serba kemewahan yang direka dengan teliti dan menggabungkan keanggunan, keselesaan serta ketenangan.
“Kami bukan sekadar membina rumah, tetapi kami sedang membina masa depan yang mampan dengan mempamerkan kemewahan serta gaya hidup yang tiada tandingan,” katanya.
Projek Resort Villa itu turut didatangkan dengan ciri-ciri yang mesra alam seperti pemanas air suria dan sistem penuaian air hujan di samping menyediakan keselamatan premium dengan sistem rumah pintar yang serba canggih.
Ia termasuk sistem Pengecaman Plat Nombor Automatik di pintu masuk, rondaan keselamatan sepanjang masa dan sistem penggera keselamatan lengkap dengan butang panik.
Beliau turut berkata, lokasinya yang berada di tengah-tengah Bandar Sri Sendayan, adalah lambang keselesaan dan kehidupan mewah.
“Perbandaran ini bersedia untuk muncul sebagai mercu tanda inovasi, memupuk pembangunan selanjutnya dan menawarkan tempat yang sesuai untuk semua orang,” katanya lagi.-UTUSAN.










