Konflik Asia Barat: Bursa Malaysia dijangka berdepan tekanan jualan - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Bursa Malaysia dijangka berdepan tekanan jualan

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka berhadapan dengan tekanan jualan dan sentimen pelabur yang lemah berikutan konflik Iran-Israel dan juga mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus mengukuh, kata penganalisis.

Pada pukul 9 pagi semalam, Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi apabila meningkat 0.6 mata kepada 1,535.6 daripada 1,535 semasa ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun, pada dagangan tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.24 mata kepada 1,533.76 sebelum meningkat kepada 1540.42 di akhir dagangan semalam.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau menjangkakan prestasi bursa bercampur-campur kerana masih lagi berlaku penjualan ekuiti oleh pelabur asing selama tujuh minggu berturut-turut disebabkan ketegangan antara Iran dan Israel.

“Saya melihat prestasi Bursa Malaysia yang bercampur-campur (naik turun) ini akan berterusan sepanjang suku kedua tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Razman berkata, bagaimanapun, ekonomi Malaysia tidak akan terkesan dengan ketara memandangkan rakan dagang utama negara kebanyakannya di Asia seperti China dan Singapura, serta AS.

“Selagi negara-negara ini tidak terlibat secara langsung dengan konflik di Asia Barat, kita tidak akan terkesan lebih.

“Lagi pula, China sudah mula menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini sebanyak 5.4 peratus dan ini merupakan potensi untuk ekonomi kita berterusan mengembang,” ujarnya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata, memandangkan sentimen dagangan yang bercampur-campur di Wall Street, tekanan jualan di dalam negara mungkin berlebihan dan pasaran sewajarnya mencatat peningkatan.

“Kami berpandangan mungkin terdapat peningkatan dalam sektor pembinaan, hartanah dan teknologi.

“Sementara itu, peniaga boleh mengukuhkan kedudukan mereka dalam syarikat pengangkutan dan logistik, manakala pelabur jangka panjang mungkin meninjau sektor yang lebih defensif seperti segmen pengguna,” katanya.

Firma pembrokeran itu turut menjangka paras rintangan pada 1,550 hingga 1,555 manakala sokongan pada 1,515 ke 1,520 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN