Kerajaan buka bidaan kuota solar 2,000MW - Utusan Malaysia

Kerajaan buka bidaan kuota solar 2,000MW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menawarkan kuota solar sebanyak 2,000MWac melalui proses bidaan kompetitif di bawah program Solar Skala Besar (LSS).

ST dalam satu kenyataan menyatakan, ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menyokong peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon dengan meningkatkan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 70 peratus pada 2050.

Katanya, proses bidaan LSS pusingan kelima atau LSS-Peralihan Tenaga SuRiA (LSS PETRA) ini menyasarkan kapasiti berjumlah 2,000MWac dengan empat pakej ditawarkan.

“Pakej 1 untuk loji janakuasa solar atas bumbung/atas tanah dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 250MWac. Bagi pakej ini, julat kapasiti yang dibenarkan ialah di antara 1MWac hingga 10MWac.

“Pakej 2 untuk loji janakuasa solar atas bumbung/atas tanah dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 250MWac. Bagi pakej ini, julat kapasiti yang dibenarkan ialah di antara 10MWac hingga 30MWac.

“Pakej 3 untuk loji janakuasa solar atas bumbung/atas tanah dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 1,000MWac. Bagi pakej ini, julat kapasiti yang dibenarkan ialah di antara 30MWac hingga 500MWac.

“Pakej 4 untuk loji janakuasa solar terapung dengan jumlah kuota yang dibenarkan sebanyak 500MWac,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut ST, bagi pakej ini, julat kapasiti yang ditawarkan ialah di antara 10MWac hingga 500MWac.

Katanya, loji-loji janakuasa solar di bawah program LSS PETRA ini dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2026.

Sehubungan dengan itu, ST ingin mempelawa syarikat atau konsortium yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan projek-projek yang berkaitan dengan penjanaan tenaga, memiliki keupayaan teknikal dan kewangan untuk membangunkan, membiayai dan mengoperasi loji janakuasa solar untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan kompetitif mengikut kriteria yang ditetapkan dalam dokumen Request for Proposal (RFP).

Dokumen RFP akan mula dijual dari 1 April hingga 16 April 2024 secara dalam talian melalui laman sesawang ST iaitu www.st.gov.my dengan harga RM3,000 bagi setiap dokumen RFP.

Menurut ST, program bidaan in terbuka kepada pembida daripada syarikat atau konsortium dengan butiran berdasarkan pakej dimohon.

“Untuk Pakej 1 – syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan 100 peratus pegangan ekuiti Bumiputera, mendapat penarafan syarikat Bumiputera daripada Kementerian Kewangan dan berdaftar sebagai Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dengan SME Corporation Malaysia.

“Pakej 2 untuk syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan ekuiti Bumiputera, mendapat penarafan syarikat Bumiputera daripada Kementerian Kewangan dan pemilikan 100 peratus pegangan ekuiti tempatan.

“Bagi Pakej 3 dan Pakej 4 untuk syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan pegangan ekuiti tempatan atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti tempatan dalam konsortium sekurang-kurangnya 51 peratus,” demikian menurut ST. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN