Tiada keperluan tubuh Ombudsman bil elektrik

Tiada keperluan tubuh Ombudsman bil elektrik

FADILLAH Yusof- JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan buat masa ini untuk menubuhkan Badan Pemantau Bil Elektrik Bebas (Ombudsman) sebagai entiti berasingan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mekanisme sedia ada melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), e-aduan ST dan saluran aduan syarikat utiliti masih mencukupi dalam menguruskan isu berkaitan bekalan elektrik.

Beliau berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan ST telah menyelesaikan 163 aduan yang berkaitan bekalan elektrik melalui sistem SISPAA dan e-aduan pada tahun 2025 sehingga 10 Jun 2026.

“Berdasarkan Seksyen 30A, Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447], ST diberi kuasa untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang gagal mencapai persetujuan bersama antara pihak-pihak yang berkaitan.

“Dalam hal ini, ST boleh menubuhkan jawatankuasa itu sekiranya ST berpuas hati bahawa penyelesaian pertikaian tersebut tidak akan tercapai dalam tempoh yang munasabah serta bukan perkara yang ringan, remeh, mahupun menyusahkan mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, kementerian berpandangan bahawa peranan ST sebagai sebuah suruhanjaya yang dipertanggungjawabkan secara khusus dengan fungsi dan kuasa kawal selia industri bekalan elektrik adalah memadai untuk menangani sebarang isu-isu berkaitan bekalan elektrik secara menyeluruh.

“Tiada keperluan buat masa sekarang bagi penubuhan Badan Pemantau Bil Elektrik Bebas (Ombudsman) sebagai sebuah entiti yang berasingan daripada ST dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang meminta kerajaan menyatakan adakah bersedia mengkaji penubuhan Badan Pemantau Bil Elektrik Bebas (Ombudsman) sebagai sebuah entiti yang berasingan daripada ST dan TNB, mempunyai kuasa mengikat untuk menyemak aduan bil, memerintahkan audit meter bebas dan memutuskan pertikaian pengebilan tanpa kos kepada pengguna. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN