PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ) dan MAIWP Dagang Sdn. Bhd. menyalurkan sumbangan bernilai RM500,000 dalam bentuk edaran 11,580 karton bekalan susu kotak UHT jenama Bright Cow keluaran FGV sempena program FGV Seikhlas Hati.
Sumbang akan diagihkan kepada lebih 30 buah pusat pendidikan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah, serta Pusat Bimbingan Tahfiz Quran Al-Ummi dan Maahad Tahfiz Quran Darul Abqari, Persatuan Autisme Labuan.
Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, seramai 8,025 orang pelajar asnaf MAIWP akan menerima manfaat sumbangan itu bagi menjamin nutrisi harian mereka.
“Kami di FGV berbesar hati dapat membantu pelajar asnaf melalui sumbangan ini,” katanya dalam majlis Sumbangan Susu UHT Bright Cow kepada pelajar asnaf MAIWP, di sini, semalam.
Jelas beliau, kerjasama itu untuk menjaga kebajikan golongan asnaf dan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh FGV.
“FGV Seikhlas Hati merupakan inisiatif menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan dengan memberi bantuan bekalan makanan bagi meringankan beban perbelanjaan harian, terutama yang berada di sekitar perniagaan kami,” ujarnya.
Tambahnya, FGV komited sepenuhnya menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan menyediakan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat pada harga berpatutan untuk setiap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, MAIWP memberi sepenuh perhatian kepada semua golongan asnaf, termasuk kanak-kanak yang kurang berkemampuan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membantu mereka untuk mendapatkan nutrisi harian daripada susu malah merupakan salah satu langkah MAIWP membantu mereka membesar dalam keadaan yang sihat dan cergas.
“Setiap pelajar akan menerima agihan susu Bright Cow bernilai RM50 seorang dan edaran dibuat secara berfasa dalam tempoh antara Februari 2024 hingga Mei 2024 yang dilaksanakan melalui MAIWP Dagang Sdn. Bhd., ” katanya. – UTUSAN










