ENEGEM tingkatkan nilai tenaga boleh baharu di pasaran

ENEGEM tingkatkan nilai tenaga boleh baharu di pasaran

enegem
Ir Guntor Tobeng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan menubuhkan pasaran tukaran tenaga Malaysia atau Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) akan membantu meningkatkan nilai tenaga boleh baharu yang dihasilkan oleh pemain industri tempatan di pasaran.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, tenaga elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) ini dapat jual pada harga lebih tinggi

Katanya, pada masa sekarang mereka bersaing di pasaran tempatan dengan harga yang sangat kompetitif, tetapi dengan ENEGEM ia membuka ruang untuk eksport ke luar negara yang sudah tentu akan memberi nilai yang lebih.

“Ini antara langkah yang diperlukan dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) supaya penghasilan tenaga boleh baharu kita bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga bagi pasaran eksport 

“Ini juga akan menjadikan Malaysia antara pemain utama dalam industri tenaga boleh baharu di rantau ASEAN,” katanya ketika menjadi tetamu program Niaga Awani hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) baru-baru  ini yang bersetuju menubuhkan ENEGEM bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran. 

Bidaan

Urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM ini akan dilaksanakan berpandukan “Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES)” terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Untuk itu PETRA mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform ENEGEM. 

Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Menurut Guntor, ENEGEM adalah langkah pantas kerajaan dalam memastikan Malaysia sentiasa berada di depan dalam merebut peluang pasaran tenaga boleh baharu di rantau ini. 

“Ini selari dengan apa yang digariskan oleh kerajaan dalam NETR iaitu menjana pelaburan berjumlah RM25 billion dan membuka 23,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Jika kita sekadar bermain di pasaran tempatan sasaran itu mungkin mengambil masa yang lama untuk dicapai. Tetapi melalui ENEGEM ia membuka spektrum baharu untuk kita melebarkan agihan TBB kita ke pasaran antarabangsa bermula dengan Singapura,” katanya.

Kepakaran

Lagi pula katanya, Malaysia mempunyai kepakaran dalam industri ini yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya selari dengan permintaan global dalam tenaga hijau.

“Kita ada sekitar 200 syarikat TBB, dengan penubuhan ENEGEM sudah tentu akan bantu tingkat kapasiti kita sebagai pemain utama TBB termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dari segi impak aliran modal pula, Guntor berkata, penubuhan ENEGEM sudah tentu akan menarik lebih ramai pelabur asing untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan terutama yang membabitkan penghasilan TBB pada skala besar.

Katanya, ini akan membantu aliran masuk pelaburan asing ke Malaysia kerana dengan pengumuman kerajaan ini sudah tentu menjadikan sektor industri TBB negara lebih menarik dan lebih menyakinkan.

Rakan kongsi

“Ia juga akan memudahkan syarikat-syarikat tempatan untuk mencari rakan kongsi antabangsa kerana ketersediaan pasaran yang luas.

“Selain itu institusi kewangan akan lebih yakin menyalurkan pembiayaan sebab potensinya sudah jelas dan terbuka luas.

“Apabila tenaga yang kita jana ini dijual kepada negara luar, sudah tentu akan memberi pendapatan yang besar kepada negara. 

“Ia juga simbol kejayaan NETR kerana apabila kKita sudah boleh eksport TBB maknanya pelan peralihan tenaga ini berjaya. Kalau tidak berjaya kita tidak mampu untuk eksport tenaga ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN