MINDEF jamin kebajikan keluarga anggota melalui RKAT

MINDEF jamin kebajikan keluarga anggota tentera melalui RKAT

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) melawat salah sebuah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebajikan anggota tentera terus menjadi keutamaan kerajaan dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui pelbagai usaha
untuk memastikan aspek itu terus terjamin.

Perkara tersebut dapat dilihat melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan kepada MINDEF untuk memastikan gerak kerja itu terus berjalan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, MINDEF memperoleh sebanyak RM19.7 bilion berbanding RM17.37 bilion (2022) dan RM16 bilion (2023).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM400 juta daripadanya disalurkan kepada ATM untuk menyelenggarakan serta membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM338.5 juta disediakan untuk kerja-kerja menyelenggara RKAT Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) diberi sebanyak RM199.5 juta untuk penyelengggaraan RKAT anggotanya, Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) pula mendapat RM69.5 juta dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga sebanyak RM69.5 juta.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF memberi perhatian sangat serius terhadap isu penyelenggaraan kerana percaya ia boleh membantu kesejahteraan
kehidupan anggota.

“Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, maka anggota bukan sahaja boleh membina keluarga bahagia tetapi dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Tidak perlu lagi mereka memikirkan keadaan keselamatan keluarga apabila bertugas.

“Atas keprihatinan itu, kerajaan merasakan sudah sampai masanya rumah RKAT dinaik taraf dan diselenggarakan,” katanya selepas melawat RKAT di TUDM Subang, baru-baru ini.

Pada masa ini terdapat sebanyak 4,700 unit RKAT yang disiapkan oleh MINDEF secara berperingkat.

Bagaimanapun, MINDEF menyasarkan lebih 8,000 unit RKAT siap dibina menjelang tahun 2025 untuk memenuhi keperluan anggota.

Ini menandakan kementerian yang dikelola oleh Mohamed Khaled bersama timbalannya, Adly Zahari sedang giat memastikan kebajikan dan keselesaan anggota dapat dijamin.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Mohamed Khaled pada 8 Februari lalu yang mengatakan MINDEF sentiasa peka terhadap segala permasalahan yang
dibangkitkan anggotanya.

Menurutnya, segala keperluan akan sentiasa ditambah baik bagi memastikan warga MINDEF mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

“Saya beri komitmen kementerian ini akan memberikan perhatian terhadap perkara yang telah dibangkitkan.

“Segala bantuan dan keperluan tentera serta para veteran sentiasa ditambah baik setiap tahun. Semua ini dilakukan demi memastikan
kebajikan mereka sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN