PETALING JAYA: Apam Balik Kuhot menjangka dapat membuka lebih banyak kiosk di pusat beli-belah dan memperluaskan kepada projek seku beku dengan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
Pengasasnya, Mohamad Azmi Ahmad berkata, syarikat yang kini sudah mempunyai 19 cawangan termasuk dua kiosk dalam pusat beli-belah dan satu cawangan korporat berkonsep kafe kini dalam proses akhir untuk mendapatkan pensijilan tersebut.
Katanya, syarikat menyasarkan untuk membuka hingga lapan kiosk dalam pusat beli-belah tahun ini dan enam daripadanya francais sudah bersedia untuk membuka kiosk tersebut tidak lama lagi.
“Selain daripada itu, kami juga sedang menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk apam balik sejuk beku yang dijangka dikeluarkan di pasaran pada Ogos tahun ini.
“Kami menyasarkan produk ini dapat dipasarkan di Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya serta di stesen minyak. Buat masa ini kami sudah R&D lima jenis produk apam balik sejuk beku,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, pensijilan halal juga membuka peluang kepada mereka untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) untuk mengembangkan serta memperkenalkan produknya dengan lebih meluas termasuk pasaran luar.
Menurutnya, dengan pensijilan tersebut, syarikat dijangka akan menyertai MIHAS pada September tahun ini, kali pertamanya bagi syarikat itu.
“Dengan perkembangan terbaharu ini, kami optimis untuk mencapai sasaran untuk membuka 50 cawangan menjelang akhir tahun depan.
“Selain itu, saya juga menjangkakan jualan kami dapat meningkat kira-kira 30 hingga 35 peratus pada tahun ini berbanding 2023. Jualan selepas diaudit kami pada 2022 adalah sebanyak RM736,000 dan menjangka angka yang lebih kurang sama pada 2023,” ujarnya.-UTUSAN










