AmanahRaya REIT komited capai 90 peratus pengisian portfolio

AmanahRaya REIT komited capai 90 peratus pengisian portfolio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menetapkan matlamat untuk mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus kadar pengisian portfolionya menjelang tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 (FY2025).

Pengarah Urusan AmanahRaya REIT, Tunku Rozita berkata, matlamat yang berani itu mencerminkan komitmen AmanahRaya REIT memaksimumkan nilai bagi pemegang unit dan mengukuhkan kedudukannya sebagai REIT tersenarai di Bursa Malaysia.

“Peningkatan kadar pengisian untuk Menara Vista dijangka dapat mengukuhkan secara ketara potensi pendapatan bagi AmanahRaya REIT,” katanya dalam kenyataan.

Tunku Rozita berkata, AmanahRaya REIT sedang menjalankan perbincangan aktif dengan pelbagai penyewa berpotensi dan prospeknya cukup memberangsangkan.

Jelasnya, AmanahRaya REIT menjangkakan kadar pengisian bagi Menara Vista akan mencapai 60 peratus menjelang Julai ini dan meningkat daripada 35 peratus pada akhir FY2023, terutamanya disebabkan oleh kedatangan penyewa baru.

“Melihat ke hadapan, kami yakin bahawa tren positif ini akan berterusan sepanjang 2024 dengan potensi mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus kadar pengisian.

“Perjanjian sewaan baharu yang kami perolehi mempunyai tempoh kontrak dari dua hingga tiga tahun, menyediakan kestabilan dan menyumbang kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kami,” ujarnya.

Portfolio semasa AmanahRaya REIT terdiri daripada 11 hartanah, termasuk aset pendidikan SEGi University Kota Damansara, SEGi College Subang Jaya dan kampus Help University dan merangkumi pelbagai jenis hartanah dalam sektor industri, runcit serta hospitaliti.

Tambah beliau, AmanahRaya REIT telah mengumumkan keputusan strategik menarik diri sepenuhnya dari sektor hospitaliti, sejajar inisiatif berterusan mengoptimumkan portfolio dengan mengambil alih aset yang memberi hasil tinggi dan menarik diri daripada aset strategik bukan teras.

Mengulas mengenai strategi pertumbuhan, katanya, AmanahRaya REIT tetap memberi tumpuan kepada meningkatkan portofolio dengan aset berkualiti tinggi dan menilai pelbagai cadangan.
“Fokus kami akan terutamanya pada aset pendidikan, hartanah industri, terutamanya dalam logistik, dan kemudahan kesejahteraan serta bersedia meraih peluang yang menarik yang dapat mendorong pertumbuhan pendapatan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×