PETALING JAYA: Siapa sangka perniagaan yang dulunya hanya bermula dari rumah, kini jenama tempatan, Adukctive berjaya meraih jualan lebih daripada lima juta unit setelah hampir empat tahun memperkenalkan produk mereka sejak 2019.
Pengasas Aducktive, Mohamad Anif Azami bersama isterinya, Nor Shahira Kamaruzaman berkata, idea untuk menciptakan kudapan yang berasaskan emping jagung berperisa telur masin tercetus apabila mendapati masih kurang jenis kudapan seperti itu di pasaran.
Tambah, walaupun terdapat snek atau kudapan yang dijual di pasaran yang menggunakan perisa telur masin, namun beliau yakin dengan kelainan yang ada pada produknya dapat menarik keterujaan orang ramai.
Menurut Mohamad Anif, setelah mendapati banyak respon positif daripada pelanggan semasa menjalankan perniagaan dari rumah, maka terdetik untuk mengkomersialkan produknya dengan lebih luas.
Justeru itu, setelah menjalankan beberapa kali penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk yang boleh menepati cita rasa rakyat Malaysia, maka terciptalah produk pertama Aducktive, iaitu ‘ Adukctive Salted Egg Cornflakes’.
“Pada permulaan perniagaan, produk ini masih belum ada jenama, walaupun ada sambutan positif daripada pelanggan yang membeli, namun produk kami masih belum dikenali.
“Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan dengan pembungkusan, label dan jenama bagi produk kami termasuklah juga permohonan bagi sijil halal juga dijalankan sehinggalah kini membuah hasil dan dikenali ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, apabila produk yang dijual menerusi dalam talian mencapai hasil yang meningkat dari masa ke semasa, maka mereka mula mewujudkan kilang bagi pemprosesan Aducktive bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Perjalanan untuk memperoleh sijil halal adalah amat mencabar kerana ia bergantung pada tahap kesediaan kilang sama ada mencapai piawai yang betul sehinggalah boleh mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ,” kata beliau.
Beliau menambah, kini sebanyak sembilan produk Aducktive juga berhasil mendapat pengiktirafan halal.
Katanya, produk Aducktive bukan sahaja boleh didapati dalam talian, namun ada dijual di rangkaian Mesra Petronas, Pasaraya Besar Lotus, Pasaraya Aeon dan Pasaraya ST Rosyam Mart.
Dalam pada itu, katanya, perniagaan Aducktive turut dibantu oleh ejen-ejen pemasaran di setiap negeri untuk mengedarkan produk supaya trend hasil jualan dapat meningkat dari masa ke semasa.
Jelasnya, Aducktive memberi peluang kepada ejen untuk menjana pendapatan berdasarkan usaha mereka dalam hasilan jualan produk.
“Sebelum itu, bagi mereka yang ingin mendaftar sebagai ejen, kami turut menyediakan latihan dan kursus bagi teknik pemasaran untuk produk Aducktive ini,” katanya.
Menurut Anif, produk Aducktive kini bukan sahaja dijual dalam pasaran tempatan, malah juga telah menembusi pasaran di luar negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Filipina, Brunei dan Singapura. –UTUSAN










