PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 189 dana unit amanah mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahlinya di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) bagi tempoh 2024/2025, berkuat kuasa 1 April 2024.
Daripada dana yang layak, sebanyak 151 dana, atau bersamaan dengan 79.9 peratus adalah dana tempatan; 107 dana (56.6 peratus) adalah dana ekuiti; dan 76 dana (40.2 peratus) adalah dana syariah.
Pengumuman itu adalah berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan pada kedudukan setakat 31 Disember 2023.
Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik oleh KWSP.
Ujarnya, skim itu membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan.
“Senarai ini juga termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana. Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.
Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam akaun tersebut.
Ia termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan simpanan asas.
Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/simpanan/i-invest.
– UTUSAN










