PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM5.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM1.6 bilion tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global itu baik didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama dan pemeliharaan modal.
Berdasarkan lonjakan prestasi tersebut, Khazanah membayar dividen sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Malaysia, berbanding RM500 juta pada 2022 dengan dividen terkumpul sebanyak RM18.1 bilion sejak 2004.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada 2023, dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, 2023 adalah tahun yang mencabar, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi tinggi yang mereda, keadaan monetari yang ketat dan peningkatan tertumpu dalam kecerdasan buatan (AI).
“Meskipun berdepan pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik yang berterusan, namun Khazanah kekal berdaya tahan dan menunjukkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan yang mampan sambil melabur untuk masa depan dan menerapkan kemampanan merentas operasi.
“Komitmen kami tetap utuh dan kami terus memanfaatkan usaha penciptaan nilai dan pendekatan pengimbangan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata imbangan kami dan membina kedudukan kewangan yang berdaya tahan,” katanya dalam taklimat media Tinjauan Tahunan Khazanah (KAR) 2024 di sini, semalam.
Mengulas mengenai prospek 2024, beliau berkata, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka akan kekal mencabar dan tidak menentu dengan konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine dan persaingan global antara China dan AS.
“Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 buah negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan.
“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” jelasnya.
Pada 2023, Khazanah Nasional menyuntik RM7.3 bilion pelaburan baharu dan memperoleh RM7.2 bilion daripada pengewangan aset.
Hutang meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion dari RM49.1b tahun sebelumnya, manakala Nisbah Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7 kali. – UTUSAN










