PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas dijangka menyaksikan pemulihan pada separuh kedua 2024, berikutan peningkatan dalam permintaan untuk produk petroleum terutamanya petrokimia.
Justeru, MIDF Research masih mengekalkan pendirian positif terhadap sektor minyak dan gas negara, terutamanya di subsektor huluan serta aliran tengahnya dari segi ladang penyimpanan.
“Kami percaya sektor ini akan kembali pulih sementara menunggu perubahan drastik dalam harga minyak mentah Brent semasa yang kini berlegar antara AS$80 (RM378.8) ke AS$85 (RM402.5) satu tan.
“Walaupun untung bersih Petronas susut 21 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini, ia adalah disebabkan harga realisasi purata yang lebih rendah, berikutan penurunan harga minyak mentah Brent pda tahun kewangan 2023,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan berpendapat, pengurusan kewangan menjadi tumpuan utama Petronas di tengah-tengah pasaran minyak yang tidak menentu dan ketidaktentuan dalam iklim makroekonomi.
“Petronas mengekalkan komitmen untuk mengekalkan pengurusan kewangan yang tekun. Kami percaya ini adalah tepat memandangkan peralihan semasa dalam penawaran dan permintaan dalam pasaran minyak, akibat daripada kegawatan geopolitik di Asia Barat, Eropah dan Asia Timur.
“Kumpulan itu juga terus mempergiatkan usaha untuk mengurangkan pelepasan dan dapatkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih. Petronas telah merangka strategi komprehensif bagi peralihan tenaga dengan menyediakan penyelesaian pengurangan pelepasan sambil mewujudkan asas untuk sistem tenaga baharu.
“Kami percaya adalah langkah seterusnya bagi sektor minyak dan gas untuk mematuhi matlamat kemampanannya dan sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” ujarnya.
Namun, MIDF Research tidak menafikan Petronas mungkin menghadapi masalah, memandangkan sektor minyak dan gas menghadapi kelemahan dalam penghujung tahun lalu.
“Ini telah menanam sikap berhati-hati dalam perbelanjaan dan pelaburan untuk petroleum mentah dan produk petroleum, serta perkhidmatan hiliran,” ujarnya.
Terdahulu, Petronas mengumumkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM23.9 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2023, merosot 22.4 peratus berbanding RM30.8 bilion dalam suku sama 2022.
Pendapatannya juga merosot 16.2 peratus kepada RM82.9 bilion pada suku dikaji berbanding RM98.9 bilion sebelumnya.-UTUSAN










