MyEG Services Bhd. beli 14.4 peratus saham HeiTech - Utusan Malaysia

MyEG Services Bhd. beli 14.4 peratus saham HeiTech

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MyEG Services Bhd. membeli sebanyak 14.4 peratus kepentingan dalam HeiTech Padu Bhd. dengan harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategiknya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, penyedia e-perkhidmatan itu berkata, mereka membeli 14.57 juta saham berkenaan melalui anak syarikatnya, MyEG Capital Sdn. Bhd. menerusi pasaran terbuka dan transaksi perniagaan langsung.

Syarikat itu memaklumkan, mereka membeli 5.16 juta saham daripada pasaran terbuka pada 7 Mac dengan wang tunai RM11 juta atau RM2.134 sen sesaham HeiTech, selain 9.42 juta saham melalui urus niaga perniagaan langsung dengan harga purata RM20.25 juta atau RM2.15 sesaham.

Mengenai rasional pengambilalihan itu, MyEG berkata, pelaburan itu akan membolehkan syarikat meneroka potensi kerjasama dengan HeiTech bagi mewujudkan sinergi dengan
memanfaatkan kepakaran masing-masing serta pengalaman kedua-dua pihak sebagai penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan yang terkemuka.

HeiTech disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Bhd. sebagai syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk integrasi sistem, pembangunan aplikasi, perkhidmatan infrastruktur terurus dan penyelesaian inovatif merentas sektor.

Pada Isnin, saham dalam MyEG telah meningkat 0.65 peratus atau setengah sen kepada 78 sen, dengan 3.99 juta saham didagangkan memberikan syarikat itu nilai pasaran RM5.86 bilion.

Sementara itu, HeiTecch meningkat 41 sen atau 16.73 peratus kepada RM2.86, memberikannya permodalan pasaran RM289.50 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN